H. I. D. S. – Pengumuman Pembentukan Badan Pencegah Rasuah

badan_pencegah_rasuah12 April 1967 – Pada hari ini dalam tahun 1967, Menteri Dalam Negeri Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman telah mengumumkan pembentukan Badan Pencegah Rasuah yang baru. Pengumuman ini dibuat selepas sidang Kabinet. Dalam pengumuman itu, Tun Dr. Ismail mengatakan bahawa Penubuhan Badan Pencegah Rasuah ini adalah berdasarkan laporan sebuah Jawatankuasa yang dilantik oleh Kabinet yang dipengerusikan oleh beliau sendiri. Beliau juga telah memberitahu bahawa Badan Pencegah Rasuah yang baru ini akan mempunyai kakitangan sendiri yang diletakkan di bawah tadbiran Ketua Polis Negara yang akan bertanggungjawab secara langsung kepada Menteri Dalam Negeri.

Rang Undang-Undang Penubuhan Badan Pencegah Rasuah ini menurut Tun Dr. Ismail akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan Jun 1967. Berikutan dengan pengumuman itu Rang Undang-Undang Badan Pencegah Rasuah telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 22hb Jun 1967. Setelah diperbahaskan dengan panjang lebar maka Rang Undang-Undang Pencegah Rasuah 1967 itu telah diluluskan.

Tujuan dibentuk Undang-Undang Pencegah Rasuah 1967 adalah untuk mengukuhkan undang-udang yang telah diwujudkan dalam tahun 1959, berkenaan pencegahan rasuah iaitu dengan menggabungkan;

  • Kuasa penyiasatan yang boleh dijalankan oleh Polis dan Kastam
  • Kuasa pendakwaan yang boleh dijalankan oleh Jabatan Undang-Undang dan
  • Tugas penyelidikan dan pencegahan rasuah yang dijalankan oleh perkhidmatan awam.

Kuasa-kuasa tersebut telah digabungkan dalam satu Badan Pencegah Rasuah yang telah diumumkan penubuhannya pada hari ini dalam tahun 1967 dan pada 1hb Oktober 1967, Badan Pencegah Rasuah ini telah memulakan operasinya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen