H. I. D. S. – Pengumuman Dasar Kerakyatan Tanah Melayu

28 Mac 1951 – Pada hari ini dalam tahun 1951, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengumumkan Rang Undang-Undang mengenai kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu. Rang Undang-Undang ini adalah hasil dari cadangan-cadangan yang telah dibuat oleh Majlis Jawatankuasa Perhubungan Muhibah antara kaum. la adalah juga merupakan pindaan kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, bagi Fasal mengenai kerakyatan.

Menurut cadangan Rang Undang-Undang itu semua rakyat Persekutuan Tanah Melayu adalah berhak ke atas perkara-perkara politik. Semua rakyat dari berbagai kaum di jamin hak asasinya mengamalkan adat istiadat masing-masing dan dalam pada itu menjamin kedaulatan bangsa dan budaya Melayu sebagai teras kerakyatan dan kebangsaan. Rakyat Persekutuan adalah diwajibkan taat setia kepada Raja Pemerintahnya.

Bagi warganegara British atau tanah jajahannya ia berhak menjadi warganegara setelah mendaftarkan dirinya dan tidak meninggalkan Tanah Melayu selama 5 tahun. Seseorang perempuan warganegara British atau jajahannya yang berkahwin dengan warganegara Persekutuan hendaklah mengetahui dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu untuk membolehkan ia menjadi rakyat Persekutuan.

Seseorang warganegara British atau jajahannya yang ingin menukarkan kerakyatan asalnya kepada kerakyatan negara ini mestilah dapat menunjukkan bahawa ia telah melayakkan diri untuk diakui sebagai warganegara ini dengan berkelakuan baik, berbudi bahasa dan tinggal di negara ini selama 10 tahun dari 12 tahun sebelum membuat permohonan menjadi warganegara. Ia juga mesti mengetahui dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Tujuan Rang Undang-Undang ini adalah untuk melahirkan satu rupa bangsa bagi Tanah Melayu serta untuk menjamin keadilan dan hak setiap rakyat negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen