H. I. D. S. – Pengumuman Dasar Kad Pengenalan Baru Tanah Melayu

kad_pengenalan08 Jun 1958 – Pada hari ini dalam tahun 1958, Timbalan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Dato’ Abdul Razak Hussein telah mengumumkan mengenai pengeluaran kad pengenalan baru bagi pendududuk Persekutuan Tanah Melayu. Pengumuman ini telah dibuat oleh beliau ketika mengulas usul yang dibawa dalam perhimpunan Agong UMNO di Kuala Lumpur yang mencadangkan agar kerajaan mengawal kemasukan orang-orang asing ke Tanah Melayu dengan mengetatkan peraturan yang sedia ada.

Dato’ Abdul Razak juga telah menjelaskan bahawa dua jenis kad pengenalan yang diperkenalkan iaitu Kad Pengenalan Khas untuk warganegara Persekutuan Tanah Melayu dan Kad Pengenalan Khas untuk warga asing. Berikutan daripada itu juga kerajaan telah menerima dan akan melaksanakan cadangan–cadangan untuk memperbaiki undang-undang berkaitan kemasukan warga asing ke Persekutuan Tanah Melayu.

Berikutan daripada itu sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Dato’ Abdul Razak juga telah ditubuhkan untuk mengkaji hal berkaitan serta memberi perhatian kepada kedudukan Jabatan Imigresen bagi memelihara kepentingan rakyat negara ini sebagai rakyat di Tanahair yang bebas dan merdeka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen