H. I. D. S. – Pengisytiharan Kota Kinabalu Sebagai Bandaraya

seal_kota_kinabalu

flag_kota_kinabalu02 Februari 2000 – Pada hari ini dalam tahun 2000, Kota Kinabalu diisytihar sebagai bandar raya. Watikah pengisytiharan Kota Kinabalu sebagai bandar raya diserahkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka Ting kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran bin Dandai di Istana Negeri. Watikah pengisytiharan ini kemudiannya diserahkan oleh Yang Dipertua Negeri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Osu Sukam.

Lanjutan daripada pengisytiharan ini juga Datuk Abdul Ghani bin Abdul Rashid dilantik sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu yang pertama. Upacara perlantikan telah diadakan pada 2 Februari 2000 di Dewan Undangan Negeri Sabah, di Likas.

Kota Kinabalu dengan jumlah penduduk kira-kira 300,000 orang terletak di pesisir pantai barat Sabah menjadi ibu negeri selepas Sandakan. Bandar Kota Kinabalu yang berusia lebih 100 tahun ini duluya dikenali sebagai Deasoka, Singgahmata, Api-api dan Jesselton sebelum ditukar namanya kepada Kota Kinabalu.

Daripada sebuah perkampungan nelayan, bandar ini kini berkembang menjadi sebuah pusat perdagangan, kebudayaan, pendidikan dan tumpuan pelancong. Kota Kinabalu yang secara rasminya menjadi bandar raya pertama di alaf baru dan keenam di negara ini mengorak langkah sebagai bandar raya yang bersih, indah dan selamat sebagai nukleus pembangunan negeri Sabah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen