H.I.D.S – Pengisytiharaan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

31 August 1957 – Pada hari ini dalam tahun 1957, pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu yang pertama telah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu tepat pada pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur. Pengisytiharan itu telah diiringi dengan laungan ‘MERDEKA’ yang bergema dengan penuh bersemangat dan menandakan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat dan merdeka.

Upacara pengisytiharan sepenuhnya telah dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pagi di hadapan Raja-Raja Melayu dan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel. Di akhir pengisytiharan tersebut Tunku telah meneriakkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali dan disambut dengan bergemuruh oleh rakyat yang hadir.

Serentak dengan itu, lambang perpaduan, keutuhan dan kedaulatan bangsa iaitu Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dan diiringi oleh lagu kebangsaan ‘Negaraku’. Ini diikuti pula dengan seruan azan dan tembakan meriam seratus satu das.

Dengan pengisytiharan itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Queen ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari ini juga Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald Mac Gilivary dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.

Sesungguhnya hari yang bersejarah ini dalam tahun 1957 telah membuka satu lembaran baru Tanah Melayu mara ke hadapan mengambil tempat yang hak baginya sebagai anggota yang bebas dan merdeka dalam lingkungan negara-negara di dunia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

 

Tinggalkan Komen