pilihanraya_1969-800px
Sejarah

Pengiktirafan Pilihanraya Umum Sabah Yang Pertama

04 April 1967 – Pada tahun 1967, seramai 15 orang pemerhati rasmi dari 5 buah negara Asia yang dijemput khas oleh Kerajaan Malaysia tiba di Jesselton untuk meninjau dan menyaksikan perjalanan pilihanraya umum Sabah yang pertama yang telah berlangsung pada 8 hingga 25 April 1967.

Pemerhati-pemerhati dari negara-negara Ceylon, India, Indonesia, Jepun dan Thailand itu telah tinggal selama sepuluh hari untuk menyaksikan seramai 192,440 orang pengundi daripada 32 kawasan pilihanraya turun mengundi untuk memilih 32 orang wakil yang terdiri daripada 53 orang calon daripada empat buah parti politik dan 26 orang calon bebas.

Pada hari kedua mereka telah menemui pemimpin-pemimpin dari parti-parti politik yang terbesar yang bertanding dalam pilihanraya itu iaitu USNO dan UPKO. Mereka juga diberi peluang meninjau pendapat sesiapa saja dari para pengundi yang mereka kehendaki pada hari-hari mengundi.

Dalam lawatan ke 60 buah pusat pengundian mereka telah menyaksikan sendiri kerja-kerja memateri dan membahagikan peti-peti undi serta pengiraan kertas-kertas undi. Di akhir tinjauan itu mereka menyatakan rasa puas hati bahawa pilihanraya itu telah dijalankan dengan cara yang demokratik dan bahawa rakyat Sabah telah menegaskan pendirian mereka untuk kekal dalam Malaysia. Kenyataan mereka itu adalah sangat penting sebagai satu pengiktirafan antarabangsa.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard