H.I.D.S. – Pengiktirafan Lulusan Kolej Islam, Kelang

kolej islam kelang15 Oktober 1960 – Pada hari ini dalam tahun 1960, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengumumkan pengiktirafan Sijil lulusan Kolej Islam Kelang. Pengiktirafan ini diumumkan oleh Menteri Pelajaran, Encik Abdul Rahman bin Haji Talib di Majlis Penyampaian Sijil di Kolej tersebut.

Kolej Islam yang dibuka pada tahun 1955 dengan 50 orang penuntut, dikelolakan oleh sebuah majlis yang dinamakan Majlis Kolej Islam. Kolej mendapat bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di samping bantuan daripada beberapa buah negara Islam.

Penuntut-penuntut yang belajar di kolej ini adalah terdiri daripada penuntut-penuntut sekolah Arab dari seluruh negara. Salah satu tujuan kolej ini ditubuhkan adalah untuk menyediakan bakal-bakal guru agama Islam dan guru bahasa Arab yang secukupnya serta cekap untuk mengajar di sekolah-sekolah menengah dan rendah.

Dalam ucapannya, Encik Abdul Rahman menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berusaha untuk mengawal dan melaksanakan dasar-dasar untuk mengembangkan agama Islam seperti yang terkandung di dalam perenggan 49 Undang-undang Pelajaran.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen