japanese_troop-800px
Sejarah

Pendudukan Jepun Di Tanah Melayu Tamat

13 September 1945 – Pada tahun 1945, satu upacara penyerahan kuasa oleh tentera Jepun kepada tentera British bagi menandakan tamatnya pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Upacara menandatangani surat – surat penyerahan kuasa tanpa syarat ini telah diadakan di Sekolah Victoria (Victoria Institution) Kuala Lumpur.

Pihak tentera Jepun telah diwakili oleh Panglima Besar Pasukan ke-29 tentera Jepun, Leftenan Jeneral Teizo Sishiguro, Ketua Turus Angkatan Tentera Major Jeneral Noaichi Kawahara dan Kolonel G-Oguri. Manakala Pihak tentera British pula diwakili oleh Pegawai Pemerintah Tentera British, Leftenan Jeneral Roberts berserta dua orang pegawai lain. Seramai 6,800 orang tentera Jepun telah melucutkan senjata mereka selaras dengan arahan Maharaja Jepun.

Penyerahan kuasa ini adalah ekoran daripada pengisytiharan tamat Perang Dunia Kedua dan tanda menyerah kalah tanpa syarat oleh Jepun pada bulan Ogos 1945 setelah kota Nagasaki dan Hiroshima dimusnahkan sama sekali oleh bom-bom atom pihak Berikat.

Sesungguhnya, pendudukan Jepun selama tiga setengah tahun di Tanah Melayu telah membangkitkan semangat nasionalisme dan anti kolonialisma yang telah membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajahan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard