H.I.D.S. – Pendaftaran Rasmi Parti Perikatan

Logo Parti Perikatan
Logo Parti Perikatan

30 Oktober 1957 – Pada hari ini dalam tahun 1957, Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC dengan rasminya telah didaftarkan sebagai sebuah organisasi politik. Pendaftaran secara rasmi Parti Perikatan ini menjadikan parti tersebut sebagai sebuah badan yang sah dan dapat bergerak sebagai sebuah parti pemerintahan sehingga membentuk satu asas yang kukuh kepada tampuk pemerintahan negara sehingga sekarang.

Parti Perikatan yang telah ditubuhkan pada bulan Disember 1951 adalah merupakan gabungan dua buah parti politik yang besar iaitu UMNO, dan MCA. Pada masa itu Sir Tan Cheng Lock menjadi ketua MCA dan Tunku Abdul Rahman Putra menjadi Ketua UMNO. Dalam tahun 1954 parti MIC pula yang diketuai oleh Datuk Sambanthan telah menyertai Parti Perikatan ini.

Mengikut perlembagaan Parti Perikatan yang didaftarkan ini, keahliannya terbuka kepada sebarang parti yang bersifat kebangsaan. Sementara itu sebuah Majlis Kebangsaan yang mengandungi 16 orang wakil daripada UMNO, 16 orang wakil daripada MCA dan enam orang wakil daripada MIC adalah bertanggungjawab mengelolakan parti ini.

Parti Perikatan Tanah Melayu telah membentuk aliran sejarah negara ini dan permulaan perjuangannya ialah menuntut, mendapat dan menegakkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Parti Perikatan ini seterusnya mencatatkan sejarah dengan terbentuknya Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen