Pembukaan Rasmi Wisma Radio Angkasapuri

11 Mac 1973 – Pada hari ini dalam tahun 1973, Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Abdul Razak telah merasmikan bangunan kompleks Angkasapuri yang dikenali sebagai Wisma Radio. Pembukaan Wisma Radio ini telah dilihat sebagai satu peringkat penting dalam perkembangan dan kemajuan Jabatan Penyiaran Negara.

Dalam ucapan perasmiannya beliau menyatakan bahawa pembukaan Wisma Radio ini telah membuktikan bahawa siaran radio akan terus memainkan peranan penting dalam penghidupan rakyat sebagai alat perhubungan yang berkesan dalam membentuk perpaduan dikalangan kaum. Tun Razak juga telah mengingatkan bahawa dalam zaman pembangunan ini, radio bukan sahaja semata-mata dilihat sebagai untuk memberi hiburan semata-mata, tetapi turut perlu dilihat sebagai wadah utama untuk menyampaikan ilmu, maklumat dan penerangan mengenai dasar dan projek kerajaan yang dijalankan kepada rakyat.

Sesungguhnya pembukaan Wisma Radio di Angkasapuri akan dapat membantu kerajaan dalam menyampaikan maklumat mengenai dasar dan cita-cita kerajaan, dalam mewujudkan satu masyarakat yang berasaskan Rukunegara, dan seterusnya membentuk perpaduan di kalangan rakyat serta mengekalkan kemerdekaan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen