H. I. D. S. – Pembukaan Rasmi Bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara)

ibu_pejabat_mara10 Mac 1967 – Pada hari ini dalam tahun 1967, bangunan Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah dirasmikan oleh YAB Tun Abdul Razak bin Hussein, Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar Malaysia.

Bangunan ini merupakan pusat induk pengurusan dan pentadbiran MARA dan terletak ditengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur. Bangunan setinggi lapan tingkat ini menelan kos pembinaan sebanyak RM3.5 juta, Tingkat satu hingga tingkat tiga menyediakan 30 buah ruang kedai. Manakala di tingkat empat hingga tingkat lapan berfungsi sebagai jentera pentadbiran.

Pada tahun 1987 bangunan ini telah digantikan dengan bangunan baru setinggi 26 tingkat yang menjadi pusat pentadbiran baharu dan simbol kelangsungan agenda perjuangan Bumiputera. Ia telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Dr Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada 12 April 1987.

Ia terletak di antara Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Sesungguhnya pembukaan bangunan MARA ini telah menjadi mercu tanda kemegahan dan simbol perjuangan bangsa Melayu serta membolehkan kaum Bumiputra berdiri di atas kakinya sendiri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen