H.I.D.S. – Pembukaan Maktab Perguruan Sultan Idris

29 November 1922 – Pada hari ini dalam tahun 1922, Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim telah dirasmikan pembukaannya oleh Ketua Setiausaha bagi Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, W.G. Maxwell. MPSI merupakan puncak pelajaran anak-anak Melayu ketika itu, terutama bagi pelajar-pelajar lepasan sekolah-sekolah Melayu yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi dari setakat darjah enam. Keputusan untuk menubuhkan Maktab ini dibuat dalam Mesyuarat Residen-residen British pada 10 Mei 1917.

Keputusan tersebut diambil berdasarkan laporan mengenai perkara itu yang dicadangkan oleh Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-negeri Selat dan Negeri-negcri Melayu Bersekutu, R.O. Winstedt. Beliau juga mencadangkan maktab ini diberi nama Maktab Perguruan Sultan Idris, sebagai satu penghormatan kepada DYMM Sultan Idris, iaitu Sultan Perak kerana minat yang ditunjukkan oleh Baginda dalam perkembangan pelajaran di negeri itu khususnya bagi pelajaran anak-anak Melayu.

Kerja-kerja membina maktab ini bermula dalam tahun 1919 dan siap pada tahun 1922. Sekumpulan 120 orang telah menjadi pelajar perintis maktab ini. Pengetuanya yang pertama ialah O.T. Dussek dan tenaga pengajar lain terdiri daripada tujuh orang guru Melayu, tiga orang Eropah dan seorang guru anyaman berbangsa Filipina. Tujuan utama penubuhan maktab ini ialah untuk menyediakan guru-guru yang dapat memajukan bidang pertanian, pertukangan dan anyaman apabila mereka pulang ke kampung. Pelajaran pertanian asas merupakan matapelajaran utama.

Walau bagaimanapun, pelatih-pelatih lepasan MPSI telah mencapai kejayaan lebih jauh dari matlamat penubuhannya. Pengaruh buku-buku Indonesia dan Sejarah Alam Melayu yang terdapat di maktab itu telah menanam bibit-bibit kesedaran kebangsaan di kalangan beberapa orang pelajar hingga melahirkan tokoh-tokoh politik yang terkemuka seperti Ibrahim Yaakub, Senu Abdul Rahman, Abdul Ghaffar Baba, Abdul Rahman Talib dan lain-lain lagi.

Di samping tokoh-tokoh politik, MPSI juga telah melahirkan sasterawan terkenal tanahair dan juga tokoh-tokoh dalam bidang pendidikan seperti Harun Aminurrashid, Abdullah Sidik, Masuri, S.N. Kemala, A. Wahab Ali, Awang Had Salleh dan Atan Long.

Jabatan Karang-Mengarang yang ditubuhkan di maktab tersebut dalam tahun 1925, membantu melahirkan tokoh-tokoh berkenaan khususnya di bidang kesusasteraan. Jabatan ini bergiat cergas menerbitkan berbagai- bagai jenis buku pelajaran, buku-buku terjemahan dan karya asli pelajar-pelajar sendiri.

MPSI terus berkembang dari semasa ke semasa mengikut peredaran zaman. la kini membuka pintunya kepada pelajar-pelajar perempuan, memecahkan tradisi lama maktab yang hanya mengambil pelajar lelaki.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen