H. I. D. S. – Pembukaan Kolej Melayu Kuala Kangsar

kolej melayu kuala kangsar02 Januari 1905 – Pada hari ini dalam tahun 1905, sebuah Sekolah Melayu berasrama penuh telah ditubuhkan di bandar diraja Kuala Kangsar, Perak. Sekolah ini dikenali sebagai Malay Residential School ditubuhkan sebagai sekolah percubaan. William Hargreaves, guru besar Penang Free School telah dilantik sebagai guru besarnya yang pertama dengan dibantu oleh dua orang guru iaitu F. A Vanrennan dan C.W Rowlands.

Pada peringkat permulaannya, murid-muridnya adalah seramai lapan orang dan bertambah kepada 63 orang menjelang bulan Mac. Sehingga penghujung tahun 1905 terdapat seramai 79 orang murid di sekolah tersebut.

Tujuan asal penubuhan sekolah khas ini ialah bagi melatih anak-anak kerabat diraja dan pembesar-pembesar Melayu serta memberi pelajaran dan latihan bagi mengisi jawatan-jawatan dalam perkhidmatan Kerajaan British di Tanah Melayu.

Bangunan tambahan sekolah ini telah siap dibina pada tahun 1909 dengan peruntukan sebanyak $30, 000.00 dan telah dirasmikan sebagai Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Berikutan daripada itu MCKK telah dijalankan sepenuhnya sebagai English Public School.

Sehingga kini, MCKK yang dikhaskan kepada murid-murid lelaki sahaja telah melahirkan ramai cendekiawan Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen