Pemasyhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor

14 April 1895 – Pada hari ini, Sultan Abu Bakar telah mengadakan satu istiadat di Johor Bahru kerana menandatangani dan memasyhurkan Undang-undang Tubuh Kerajaan iaitu Perlembagaan bagi negeri Johor yang telah disediakan oleh Jemaah Menteri-menteri Baginda yang dibantu oleh sebuah syarikat peguam di Singapura, Rodyk and Davidson. Dalam istiadat ini Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor itu telah ditandatangani oleh Sultan Abu Bakar, adinda baginda, Ungku Muhamad Khalid Ibni Almarhum Temenggung Ibrahim dan Tengku Mahkota Ibrahim. Perlembagaan ini ditandatangani juga oleh Ahli-ahli Jemaah Menteri dan ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Johor.

Di antara kandungan Undang-undang Tubuh Kerajaan itu ialah:

  • Syarat-syarat bagi melantik atau menabalkan Sultan serta menetapkan wang-wang perbelanjaan dan aturan-aturan bagi menggantikan Sultan Johor itu hingga berketurunan;
  • Peraturan-peraturan dan kewajipan-kewajipan Majlis Mesyuarat Menteri-menteri dan Majlis Mesyuarat Negeri;
  • Aturan-aturan berkenaan dengan agama dalam negeri Johor;
  • Menetapkan asas hukuman-hukuman undang-undang yang akan dijalankan di dalam mahkamah-mahkamah keadilan; dan
  • Mengenai perjanjian dengan negara-negara asing.

Undang-undang Tubuh ini kemudiannya diwartakan pada 14 September 1895, (24 Rabiul-Awal 1333). Semenjak ia diperakukan dan dimasyhurkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor ini telah mengalami empat kali tambahan yang berlaku di sepanjang pemerintahan Sultan Ibrahim.

  1. Perubahan pertama pada 1 April 1908
  2. Perubahan kedua pada 17 September 1912
  3. Perubahan Ketiga pada 12 Mei 1914
  4. Perubahan Keempat pada 17 Julai 1918

Di antara Kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu dalam kurun Masihi yang ke-19, Kerajaan Johor lah yang mula-mula memakai Undang-undang Tubuh yang bertulis. Teks asal Undang-undang Tubuh 1895 hingga 1908 adalah ditulis dalam tulisan Jawi. Undang-undang ini (1895-1918) masih terpakai bagi Kerajaan Johor hingga sekarang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen