H.I.D.S. – Pemajakan Seberang Perai Oleh British

Seberang Perai
Seberang Perai

15 Julai 1800 – Pada hari ini dalam tahun 1800, Sir George Leith Bart, Leftenan Gabenor Pulau Pinang telah memajak sebuah kawasan di daratan negeri Kedah, bersetentangan dengan Pulau Pinang yang dikenali sebagai Seberang Perai daripada Sultan pemerintah negeri Kedah.  Urusan pemajakan itu dibuat tanpa perbincangan yang sewajarnya dengan mana-mana pihak termasuk Sultan Dhiauddin yang menjadi Raja Kedah ketika itu.  Apa yang diketahui hanyalah pertemuan seorang wakil yang dihantar oleh Sir George Leith bernama Caunter untuk menemui Sultan Dhiauddin pada akhir Jun tahun 1800 bagi memajak kawasan tersebut.  Malah tidak boleh dinafikan kemungkinan adanya pujukan dengan janji yang manis atau desakan yang memaksa Sultan menyetujui kehendak British itu.  Berikutan dari pertemuan wakil Leith dengan Sultan Dhiauddin, Britih telah menghantar orang-orangnya untuk membuat penempatan di Seberang Perai yang kemudiannya dinamakan Province Wellesly.  Spekulasi dari setengah pihak pula menyatakan bahawa Sultan Kedah telah menjual kawasan tersebut dengan harga 2,000 pisos.  Hakikat sebenarnya kawasan ini hanyalah dipajakkan sahaja kepada British dengan bayaran sagu hati sebanyak empat ribu ringgit tiap-tiap tahun kepada Sultan Kedah.  Ini bermakna Kompeni Inggeris mesti membayar 10,000 ribu ringgit kepada Sultan Kedah kerana memajak Pulau Pinang dan Seberang Perai.  Surat persetujuan pemajakan itu berbunyi:

  • Fasal yang pertama: Kompeni Inggeris perlu membayar setiap tahun kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Muda Perlis Kedah 10,000 rial semasa Inggeris menguasai dan menduduki Pulau Pinang dan negeri yang di seberang.
  • Fasal yang kedua:  Duli Yang Maha Mulia janji beri kepada Kompeni Inggeris selama-lamanya jajahan dari Kuala Kerian sampai ke Kuala Muda dan ukurannya dari tepi laut ke darat enam puluh relung serta panjang dan lebar yang tersebut ini.  Kemudian hendaklah diukur oleh Orang Duli Yang Maha Mulia bersama-sama dengan orang dan kompeni.  Kompeni Inggeris sanggup menjaga jajahan laut ini daripada pencuri dan perompak-perompak yang menyerang dari laut dari sebelah utara atau dari sebelah selatan.
  • Fasal yang ketiga:  Duli Yang Maha Mulia berjanji segala jenis makanan yang kurang di Pulau Pinang atau untuk kapal perang atau untuk kapal Kompeni boleh diberi di Perlis dan Kedah dengan memberi surat pas.
  • Fasal yang keempat:  Segala budak yang lari dari Perlis dan Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang dan ke Perlis dan ke Kedah tiada mahu dipulangkan kepada negeri asal mereka.
  • Fasal yang kelima:  Segala orang berhutang yang lari daripada tuan hutangnya dari Perlis dan Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang ke Perlis dan Kedah jikalau tiada dibayar hutangnya hendaklah dipulangkan kepada tuannya.
  • Fasal yang keenam:  Duli Yang Maha Mulia tidak boleh membenarkan orang Eropah tinggal di dalam negeri yang dibawah perintah Duli Tuanku.
  • Fasal yang ketujuh:  Kompeni tidak boleh menerima orang sudah nyata salah melawan Raja atau kesalahan besar yang lain.
  • Fasal yang kelapan:  Orang yang bersalah membunuh orang lari dari Perlis dan Kedah ke Pulau Pinang hendaklah ditangkap dan dipulangkan ke tempatnya.
  • Fasal yang kesembilan:  Orang yang mencuri cap atau menipu hendaklah dipulangkan juga.
  • Fasal yang kesepuluh:  Bangsa yang menjadi musuh Kompeni Duli Yang Maha Mulia tiada boleh bantuan.
  • Fasal yang sebelas:  Semua rakyat Duli Yang Maha Mulia membawa segala jenis barang-barang turun sungai tiada boleh diusik atau ditahan oleh Kompeni atau orangnya.
  • Fasal dua belas:  Apa-apa jenis barang Duli Yang Maha Mulia yang kekurangan dan Kompeni mahu mencarinya, harga hendaklah ditolak dari sewa Pulau Pinang.
  • Fasal tiga belas:  Apabila telah dinyatakan dan diterangkan perjanjian dan kahul ini segala sewa yang tinggal atas perjanjian yang dahulu kepada Duli Yang Maha Mulia di Perlis dan Kedah hendaklah dibayar habis.
  • Fasal empat belas:  Perjanjian dan kahul yang telah dibuat oleh kedua pihak penghulu negeri batal dan tidak boleh digunakan lagi.

Pemajakan ini dibuat bukanlah berdasarkan minat British untuk memajukan Seberang Perai.  Demi menjaga kepentingan perdagangan Pulau Pinang kawasan di seberang itu diambil supaya dapat menyekat kemungkinan wujud sebuah pelabuhan saingan yang berdekatan.  Pada masa yang sama British mengesyaki bahawa Seberang Perai menjadi tempat persembunyian lanun-lanun yang sentiasa mengganggu keamanan Pulau Pinang.  Keadaan Seberang Perai yang berhutan dan berpaya dengan penduduk yang kurang memudahkan penjenayah yang lari dari Pulau Pinang melepaskan diri dari hukuman.  Tambahan pula British ingin menjadikan Seberang Perai sebagai kawasan bercucuk tanam supaya Britih di Pulau Pinang tidak terlalu mengharap bekalan makanan dari negeri Kedah.  Sesungguhnya British hanya memajak Seberang Perai demi kepentingan perdagangan di Pulau Pinang.  Dengan janji yang manis Pulau Pinang dan Seberang Perai dikuasai seolah-olah miliknya sendiri malah di satu masa yang lain sejarah mencatatkan keengkaran British menepati janjinya dan persetujuan yang dimetrai.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen