cobbolt_commision_fi
Sejarah

Pelantikan Ahli-Ahli Suruhanjaya Cobbold

17 Januari 1962 – Kementerian Luar Negeri mengumumkan dengan rasminya pelantikan ahli-ahli Suruhanjaya Cobbold  pada 1962. Ia merupakan lanjutan daripada perbincangan yang diadakan di London pada 20-22 November 1961, dimana satu keputusan telah dicapai untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi menyiasat pendapat dan pandangan rakyat di Borneo Utara dan Sarawak berhubung gagasan Malaysia.

Suruhanjaya bebas yang dianggotai oleh lima orang ini dipengerusikan oleh Lord Cobbold. Dua orang wakil dari kerajaan British iaitu Sir Anthony Abell dan Sir David Wetherston. Dua orang anggota lagi adalah wakil dari kerajaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu Encik Ghazali Shafie dan Dato Wong Pow Nee. Setiausahanya pula ialah J. H. Harris daripada Pejabat Tanah Jajahan.

Lord Cobbold

Lord Cobbold

Tugas Dan Peranan Ahli-Ahli Suruhanjaya Cobbold

Peranan yang dimainkan oleh ahli-ahli Suruhanjaya Cobbold ini sangat penting dalam sejarah penubuhan Malaysia. Suruhanjaya ini telah menghasilkan satu laporan yang dikenali sebagai Penyata Suruhanjaya Penyiasat Borneo Utara dan Sarawak. Ianya menjadi asas rujukan dan bukti persetujuan oleh majoriti rakyat Borneo Utara dan Sarawak untuk bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura membentuk persekutuan baru Malaysia.

Sebelum memulakan penyiasatan, suruhanjaya terlebih dahulu meneliti syor-syor dalam Memorandum On Malaysia yang dikemukakan oleh MSCC pada 3 Februari 1962. Syor-syor yang terkandung dalam memorandum khas ini lebih menyentuh syarat-syarat dan hak-hak perlindungan berperlembagaan yang khusus untuk rakyat di Borneo.

Kertas-kertas putih disebarkan kepada rakyat di kedua-dua negeri untuk memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai Malaysia serta tujuan kehadiran anggota suruhanjaya menjalankan tinjauan berkenaan.

Siasatan Oleh Ahli-Ahli Suruhanjaya Cobbold

Dari 19 Februari sehingga 18 April 1962, ahli-ahli Suruhanjaya Cobbold telah melakukan lawatan ke 35 buah tempat di sekitar Borneo Utara dan Sarawak termasuk kawasan-kawasan pedalaman yang melibatkan 50 perjumpaan dengan sejumlah 4000 orang.

Ahli-ahli Suruhanjaya Cobbold ini juga melaporkan telah menerima sejumlah 2,200 keping surat dan memorandum daripada pelbagai persatuan, parti politik, pertubuhan keagamaan, kemasyarakatan dan kesatuan sekerja, dewan-dewan perdagangan, ketua-ketua kaum, orang-orang kenamaan serta individu di kedua-dua negeri tersebut.

cobbolt_commision_jesselton

Ahli-Ahli Suruhanjaya Cobbold

Hasil Penyiasatan Ahli-Ahli Suruhanjaya Cobbold

Laporan-laporan penyiasatan suruhanjaya di Sarawak dan di Borneo Utara ini dimuatkan secara berasingan dan disusuli dengan syor-syor suruhanjaya. Syor-syor oleh suruhanjaya pula dibahagi kepada :

  • Syor-syor berkaitan perkara am
  • Syor-syor daripada ahli-ahli yang mewakili kerajaan British
  • Syor-syor daripada ahli-ahli yang mewakili Persekutuan Tanah Melayu.

Enam lampiran turut dikepilkan dalam Penyata Cobbold untuk rujukan seperti :

  • Jadual lawatan suruhanjaya
  • Cabutan banci
  • Dasar-dasar utama British
  • Istilah dan maksud ‘bumiputera’ dalam perundangan
  • Kertas-kertas kerajaan Borneo Utara dan Sarawak mengenai Malaysia
  • Memorandum mengenai Malaysia yang dikemukakan oleh MSCC.

Turut dikepilkan ialah peta negeri-negeri Borneo 1953 (Pindaan 1962). Laporan Suruhanjaya Cobbold ini telah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan British pada bulan Jun 1962.

Penubuhan Suruhanjaya Cobbold telah membantu Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai kehendak penduduk di negeri Sabah dan Sarawak. Akhirnya pembentukan Malaysia telah berlangsung pada 16 September 1963.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard