H.I.D.S. – Pelancaran Tv Warna

28 Disember 1978 – Pada hari ini dalam tahun 1978, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Hussein Onn telah melancarkan siaran televisyen warna ke seluruh negara. Dalam ucapannya di majlis pelancaran itu, Datuk Hussein mahu pihak Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) memainkan peranan penting dan bertanggungjawab untuk mengikis gejala-gejala yang cuba memisahkan perpaduan kaum.

Majlis bersejarah yang diadakan di Auditorium Besar Angkasapuri ini telah dihadiri beratus-ratus para jemputan termasuk Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Ketua-ketua Perwakilan Asing dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Penerangan. Majlis pelancaran ini dilangsungkan sempena dengan genapnya 15 tahun usia TV Malaysia.

Dengan ini, maka bermulalah era baru dalam perkembangan TV Malaysia.Perkembangan pesat teknologi di tahun 1970-an turut dirasai oleh negara kita, apabila buat pertama kalinya rakyat Malaysia berpeluang menonton televisyen dalam bentuk warna ini ialah Puspawangsa yang disiarkan secara langsung. Perdana Menteri juga berharap dengan memasuki era baru ini TV Malaysia sebagai alat penting dapat memainkan peranan utama untuk mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang cekap, terlatih dan berdisiplin.

Pada hari ini negara bukan sahaja menikmati siaran televisyen warna malah beberapa siaran televisyen swasta telah turut mewarnai teknologi penyiaran negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen