H. I. D. S. – Pelancaran Projek Mendaki Gunung Everest

14 Februari 1988 – Pada hari ini dalam tahun 1988, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak melancarkan Projek Mendaki Gunung Everest. Projek ini dikendalikan secara kerjasama di antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Persatuan Mendaki Malaysia.

Projek Eversest yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir ini bertujuan untuk mendorong rakyat Malaysia berusaha gigih bagi mencapai kejayaan yang gemilang.

Berucap merasmikan pelancaran projek tersebut, Datuk Sri Mohd Najib menggesa seluruh rakyat agar berjuang ke arah mencapai kecemerlangan di dalam semua lapangan termasuklah bidang pentadbiran, siasah, pembangunan ekonomi dan kemanusiaan.

Pada 23 Mei 1997, dua orang rakyat Malaysia iaitu, M.Magendran dan N.Mohandas telah berjaya menakluki Gunung yang tertinggi di dunia dengan ketinggian 29,000 kaki di atas paras laut.

Ekspedisi Gunung Everest Malaysia ini dianggotai seramai 20 orang peserta dan mendapat liputan harian selama hampir 55 hari oleh RTM.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen