H. I. D. S. – Pelancaran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)

20 Mei 1968 – Pada hari ini dalam tahun 1968, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau lebih dikenali sebagai BERNAMA telah dilancarkan oleh Menteri Penerangan , Dato’ Senu Abdul Rahman. Majlis pelancaran tersebut telah berlangsung di ibu pejabat sementara BERNAMA di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur ( sekarang Jalan Tun Abdul Razak).

Dasar BERNAMA adalah melaporkan berita mengenai apa-apa perkara yang mempunyai kepentingan negara, perkembangan politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya. Pertubuhan bebas ini diasaskan menerusi undang-undang yang diluluskan oleh parlimen pada 6 April 1967. BERNAMA dikelolai bersama oleh syarikat-syarikat akhbar Malaysia dan jabatan-jabatan kerajaan yang bertanggungjawab dalam lapangan perhubungan awam. Kerajaan Pusat telah memberi bantuan sebanyak RM1,500,000.00 untuk pelancarannya.

Perkhidmatan BERNAMA dijalankan serentak dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Pada ketika itu, wartawan atau wakil di pusat penyebaran menggunakan alat teleprinter untuk menyalurkan berita ke ibu pejabat di Kuala Lumpur.

Sejajar dengan kematangan usianya, BERNAMA semakin mantap dengan penubuhan unit audio-visual atau dikenali sebagai BERNAMA TV pada September 1998.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen