H.I.D.S. – Pelancaran Perkhidmatan Televisyen Malaysia

RTM_logo28 Disember 1963 – Pada hari ini dalam tahun 1963, Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman Putra yang juga Menteri Penerangan melancarkan Perkhidmatan Televsiyen Malaysia bertempat di Studio sementara Televisyen Malaysia di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Pada peringkat awal pelancarannya, ia bersiaran lima setengah jam sehari atau 44 jam seminggu dengan tambahan masa siaran pada hujung minggu.

50 peratus daripada rancangan yang disiarkan dibuat secara langsung dari studio manakala selebihnya merupakan filem-filem sumbangan daripada Filem Negara dan lain-lain sumber luar.

Kejayaan kepada pelancaran perkhidmatan ini ialah hasil daripada bantuan daripada Suruhanjaya Penyiaran Kanada kepada kerajaan melalui bantuan teknikal dalam bidang kejuruteraan, latihan, rancangan dan pentadbiran. Sebagai permulaan, penerimaan siaran adalah terhad kepada ibu negara dan kawasan-kawasan berhampiran.

Berikutan itu, mulai tahun 1964 beberapa buah stesen pemancar telah dibina bagi meningkatkan liputan kawasan siaran iaitu di Gunung Keledang, Perak; Gunung Tampin, Negeri Sembilan dan Gunung Jerai, Kedah dan diikuti dengan pemancar di Gunung Pulai, Johor dan Bukit Maxwell, Perak.

Sesungguhnya dengan pelancaran perkhidmatan televisyen Malaysia ini telah dapat menjalinkan hubungan rakyat negara ini dengan segenap pelusuk negara. Dasar dan rancangan-rancangan pembangunan negara telah dapat disampaikan kepada rakyat dengan lebih cepat dan berkesan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen