map_lebuh_raya_timur_barat-800px
Sejarah

Pelancaran Pembinaan Lebuh Raya Timur Barat

09 April 1964 – Pada tahun 1964, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah melancarkan peringkat pertama pembinaan Lebuh Raya Timur Barat di Mukim Tersat, Kuala Berang, Terengganu. Lebuh raya sejauh 400 kilometer dan menelan belanja sebanyak 150 juta ini bermula dari Sungai Siput di negeri Perak melintasi negeri Kelantan hingga ke Kuala Berang, Terengganu. YAB Tun Abdul Razak menyifatkan, pembinaan lebuh raya ini sebagai satu simbol perpaduan rakyat dan lambang kemajuan dan pembangunan yang dirancang dan diusahakan oleh kerajaan untuk faedah rakyat.

Dengan pembinaan lebuh raya ini, beribu-ribu hektar tanah pertanian seperti getah, padi, kelapa sawit dan sebagainya akan dapat diterokai dengan adanya sistem perhubungan yang baik. Ia juga akan mendorong perlaksanaan pelbagai projek pembangunan seperti projek-projek hidro elektrik dan penempatan-penempatan baru yang memberi faedah kepada penduduk-penduduk desa di sekitarnya.

Tugu lebuh Raya Timur Barat

Di dalam ucapan perasmiannya, Tun Abdul Razak menyatakan bahawa kerajaan menumpukan perhatian untuk membasmi kemiskinan khasnya di kalangan penduduk desa dengan mengadakan pelbagai projek luar bandar melalui badan-badan tertentu seperti RIDA dan agensi-agensi swasta.

Tun juga menasihatkan penduduk-penduduk desa supaya tidak terpengaruh dengan anasir-anasir subversif yang bertujuan untuk merosakkan kemakmuran dan keamanan negara melalui dakyah-dakyah halus. Rakyat mestilah bersatu-padu dan bekerjasama dengan kerajaan untuk kepentingan Negara.

Dengan pelancaran pembinaan lebuh raya Timur Barat pada hari ini dalam tahun 1964, penduduk desa khasnya di kawasan-kawasan yang terlibat telah dapat menikmati hasil pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard