Pelancaran Model Terbaru Proton Wira

proton_wira21 Mei 1993 – Pada hari ini dalam tahun 1993, Perdana Menteri, Y.A.B Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad telah melancarkan model terbaru Proton yang diberi nama Proton Wira bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Turut hadir ke majlis pelancaran tersebut ialah Y.Bhg. Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, Pengerusi Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (PROTON) dan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), Tan Sri Dato’ Jamil Bin Mohd Jan; Presiden Mitsubishi Motors Corporation, Dr. Hirokazu Nakamura.

Proton Wira adalah Proton generasi baru yang lebih aerodinamik, berciri moden, canggih dan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik untuk penumpang.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri mengesa Proton agar meningkatkan usaha Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk memastikan kereta nasional terus berkemampuan menandingi prestasi kereta lain di pasaran antarabangsa. Beliau juga berharap agar dengan adanya Proton Wira ini, usaha mencari pasaran baru dapat dipertingkatkan lagi.

Sesungguhnya, pelancaran model terbaru ini merupakan satu lagi detik bersejarah dalam perkembangan dan kemajuan industri kereta negara. Ia merupakan satu kebanggaan dan kejayaan Malaysia yang telah membuktikan kemampuannya menerokai teknologi dalam industri automobil melalui satu proses perancangan, penyelidikan, pembangunan dan kepakaran kejuruteraan yang dimiliki anak-anak tempatan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen