upsi_800px
Sejarah

Pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris Melancarkan Mogok

16 Disember 1949 – Pada tahun 1949 para pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjong Malim telah memulaukan kelas dan pulang ke kampung. Mogok ini telah dilakukan oleh pelajar-pelajar tahun pertama dan tahun ketiga sebagai tanda simpati mereka terhadap tindakan yang diambil oleh pihak pentadbiran Maktab khususnya pentadbiran Inggeris ke atas pelajar-pelajar tahun kedua.

Hal ini berlaku adalah ekoran dari demontrasi yang dilakukan oleh para pelajar pada 10 Disember 1949 yang menyebabkan kesemua pelajar tahun kedua digantung persekolahannya dan diarah pulang. Ini menyebabkan pelajar-pelajar tahun pertama dan ketiga turut memulaukan kelas menyebabkan Maktab tersebut terpaksa ditutup selama tiga bulan.

Demontrasi yang dilancarkan itu adalah bertujuan menuntut diberikan hak-hak yang lebih luas kepada para pelajar. Kesedaran para pelajar yang berjuang menuntut hak-haknya itu jua ada kaitannya dengan percambahan semangat nasionalisme yang mula tumbuh subur selepas Perang Dua Kedua itu.

Maka untuk membendungnya Pentadbiran Inggeris yang menguasai pentadbiran Maktab Perguruan Sultan Idris telah bertindak menggantung pelajar-pelajar yang mengadakan demontrasi. Sebagai tindakbalas para pelajar telah melancarkan mogok menyebabkan Maktab terpaksa ditutup dan hanya dibuka semula pada 16 Mac 1950 iaitu kira-kira 3 bulan ditutup.

Dengan tindakan berani pelajar-pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris itu pada hari ini dalam tahun 1949 menyebabkan pentadbiran Inggeris khususnya pentadbiran Maktab telah melayani tuntutan-tuntutan pihak pelajar selepas ianya dibuka semula itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard