H.I.D.S. – Pasir Salak Dikuasai Oleh Inggeris

maharaja lela15 November 1875 – Pada hari ini dalam tahun 1875, Pasir Salak telah diserang dan dikuasai oleh angkatan tentera Inggeris. Serangan yang dilakukan itu adalah sebagai tindakbalas Inggeris terhadap Sultan dan Pembesar-pembesar Melayu Perak bersabit dengan pembunuhan Residen Pertama Inggeris di Perak, J.W.W. Birch.

Melalui Perjanjian Pangkor yang telah ditandatangani oleh Sultan Abdullah dengan Gabenor Negeri-negeri Selat Sir Andrew Clarke, pada 20 Januari 1874 Negeri Perak terpaksa menerima seorang Residen Inggeris. Fungsi Residen Inggeris adalah sebagai penasihat kepada semua perkara pentadbiran negeri itu kecuali hal-hal berkaitan dengan hal-ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu Perak.

Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris di Singapura J. W. W. Birch telah dilantik menjadi Residen Inggeris yang pertama bagi negeri Perak. Perlantikan Birch sebenarnya tidak diperkenankan oleh Sultan Abdullah memandangkan Birch tidak boleh bertutur bahasa Melayu, jahil mengenai adat istiadat Melayu dan sikapnya memandang rendah akan kebolehan sultan dan pembesar-pembesar tempatan mentadbirkan negeri. Sikap Birch itu menyinggung perasaan sultan dan para pembesar negeri.

Tindakan pertama Birch ialah mengubahsuaikan adat istiadat Melayu dan menjadikan negeri Perak seperti tanah-tanah jajahan Inggeris di Negeri-negeri Selat yang mendatangkan banyak hasil kewangan bagi penjajah Inggeris. Dalam usaha melaksanakan sistem pungutan dan kawalan cukai, Birch bersama rombongan mudik ke hilir Sungai Perak untuk mengisytiharkan bahawa pungutan cukai hanya boleh dijalankan oleh pemungut-pemungut yang dilantik oleh Residen Inggeris.

Tindakan sedemikian telah ditentang oleh Datuk Maharaja Lela di Pasir Salak juga oleh sultan sendiri. Akibatnya pada waktu subuh 2 November 1875, Birch diserang dan dibunuh. Pembunuhan Birch telah menggemparkan pegawai-pegawai Inggeris di Perak dan di Negeri-negeri Selat. Mereka menganggap peristiwa itu sebagai kebangkitan rakyat Melayu menentang penjajahan Inggeris.

Pada 7 November 1875, Inggeris telah menghimpunkan satu angkatan tentera yang besar lalu menyerang Pasir Salak. Serangan Inggeris itu dapat dipatahkan oleh perwira-perwira Melayu yang dipimpin oleh Datuk Maharaja Lela. Dalam pertempuran itu Kapten Innes pemerintah pasukan Inggeris dan dua orang askarnya telah terkorban.

Menyedari akan tentangan orang-orang Melayu begitu hebat, pihak berkuasa Inggeris di Negeri-negeri Selat meminta bantuan tentera dari India dan Hong Kong untuk melancarkan serangan kedua dengan menggunakan kapal perang dan askar-askar yang lengkap dengan senjata. Oleh kerana Inggeris mempunyai angkatan perang yang besar dan alat senjata moden berbanding dengan senjata keris, lembing dan pedang orang-orang Melayu, maka tidak hairanlah pada hari ini dalam tahun 1875, Pasir Salak telah dikuasai oleh Inggeris.

Pembunuhan Birch ini telah memberi peluang keemasan penjajahan Inggeris menjadikan alasan utamanya mencerobohi dan menakluki negeri Perak serta menggunakan kekerasan tentera.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen