H.I.D.S. – Parlimen Membahaskan Cadangan Menubuhkan Malaysia

Tunku Abdul Rahman
Tunku Abdul Rahman

16 Oktober 1961 – Pada hari ini dalam tahun 1961, YTM Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra telah membentangkan satu usul bagi menubuhkan gagasan Malaysia. Usul itu berbunyi:
“Bahawa Dewan ini bersetuju pada prinsipnya dengan Konsep Malaysia itu mengandungi sebelas negeri Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak merestui usaha kerajaan untuk menjayakan gagasan tersebut di mana Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra akan memberitahu sebarang kemajuan kepada Dewan ini”.

Sebelum ia dibahaskan, Dewan telah menolak satu pindaan yang dikemukakan oleh Presiden PAS, Dr. Burhanuddin Al-Helmi, supaya Malaysia itu meliputi Republik Indonesia dan Filipina selain dari Tanah Melayu, Singapura dan tiga buah negeri di Borneo. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Hj. Mohd. Noah Omar telah menolak pindaan tersebut berdasarkan Peraturan Tetap Dewan yang menurut beliau tidak kena pada tempatnya kerana usul Perdana Menteri itu hanya meminta Dewan memperkenankan pelaksanaan Persekutuan Melayu Raya. Ahmad Boestamam dari Barisan Sosialis pula berpendapat bahawa Malaysia anjuran Tunku itu bukanlah Melayu Raya. Bagaimanapun beliau menyokong kalau Malaysia itu sebagai peringkat awal untuk menubuhkan Melayu Raya atau Malaysia Raya.

Sewaktu membentangkan usul itu Perdana Menteri menegaskan bahawa dengan perpaduan dan keazaman, kita mungkin berjaya untuk mencapai matlamat menciptakan gabungan yang lebih besar iaitu Malaysia. Konsep asas gagasan itu merangkumi kesebelas negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu serta Brunei, Sabah dan Sarawak yang disatukan dalam satu Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan yang baru ini akan berasaskan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Sedikit perubaban akan dibuat untuk mengadakan peraturan-peraturan bagi masa peralihan kerana kepentingan ketiga-tiga Wilayah Kalimantan dan Singapura.

Dalam ucapannya semasa membentangkan usul itu Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, menegaskan bahawa semua negeri dalam Malaysia akan menikmati taraf yang sama. Di bawah konsep Malaysia ini tidak ada negeri yang akan menjadi tanah jajahan, bahkan tidak akan ada negeri yang dipanggil Persekutuan Tanah Melayu kerana tempatnya digantikan oleh sebuah negara yang bergabung akan mempunyai taraf yang sama dan mengekalkan kuasa-kuasa tempatan seperti yang akan dipersetujui oleh negeri-negeri itu.

Usul ini telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 18 Oktober 1966. Ucapan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman itu telah menjadi kenyataan pada 16 September 1963 apabila gagasan ini diisytiharkan dengan rasminya dalam bentuk yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen