H. I. D. S. – Panchor Ditawan Oleh Raja Kechil

21 Mac 1781 – Pada hari ini dalam tahun 1718, Panchor, ibu kota Empayar Johor-Riau-Lingga telah jatuh ke tangan Raja Kechil dari negeri Siak. Raja Kechil kemudian telah mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Empayar Johor-Riau-Lingga dengan nama Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.

Pertelingkahan di antara Empayar Johor dan negeri Siak sebenarnya bermula di antara tahun 1708 dan 1715. Dalam tempoh 2 tahun Sultan Johor, Sultan Abdul Jalil yang bersemayam di Pulau Riau, telah mengarah Yamtuan Muda Tun Mahmud menyerang negeri-negeri di Pulau Sumatera seperti Inderagiri, Batu Bara dan Deli. Kebetulan pula pada masa itu Raja Kechil baru saja menguasai negeri-negeri tersebut dari Raja Pagar Ruyong di Minangkabau. Setelah mendapat kejayaan Sultan Abdul Jalil telah balik ke negeri Johor dan mendirikan kota baru di Panchor, di Kuala Sungai Tukul.

Pada tahun 1717, Raja Kechil telah menguatkan angkatan tenteranya untuk menyerang Johor. Sebelum melancarkan serangannya ke atas Panchor, Raja Kechil telah mengutuskan beberapa orang pembesarnya berjumpa dengan Raja Negara, iaitu ketua Orang Laut di Singapura dan rakyat Melayu untuk bersubahat dengan Raja Kechil. Orang-orang Raja Kechil juga telah menyebarkan berita angin kononnya Raja Kechil itu adalah putera Sultan Mahmud Shah Mangkat di Julang.

Rancangan Raja Kechil untuk mengganggu ketenteraman dengan berita angin itu akhimya berjaya. Orang laut yang menjadi tulang belakang pertahanan Empayar Johor-Riau-Lingga telah bersetuju untuk berpaling tadah.

Rancangan Raja Kechil ini kemudiannya diketahui oleh Yamtuan Muda Tun Mahmud dan terus menyerang angkatan Raja Kechil di Kuala Sungai Johor. Dalam pertempuran ini Raja Kechil mendapat kejayaan dan mula menyusun strategi untuk menawan kota Panchor di mana Sultan Abdul Jalil masih bertahan.

Setelah merancang dan menunggu selama tiga bulan maka pada hari ini dalam tahun 1718, Raja Kechil telah menyerang kota Panchor dan akhirnya berjaya menawan kota itu. Sultan Abdul Jalil telah sempat melarikan diri ke Pahang. Sejurus selepas itu Raja Kechil telah menjadi Sultan Empayar Johor-Riau-Lingga dan beliau telah dapat memegang takhta itu untuk selama empat tahun. Raja Kechil telah diusir dari Empayar Johor-Riau-Lingga oleh Raja Sulaiman, salah seorang putera Sultan Abdul Jalil, dengan bantuan orang-orang Bugis pada tahun 1722.

Walaupun Raja Kechil telah terusir dari takhta kerajaan Johor kemudiannya, tetapi beliau telah sempat menduduki takhta kerajaan Johor buat beberapa ketika. Hal ini berlaku berikutan dengan tertawannya Panchor pada hari ini dalam tahun 1718. Bagaimanapun selepas itu waris sah kerajaan Johor dapat merampas kembali takhta pada tahun 1722.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen