H. I. D. S. – Pahlawan-Pahlawan Pahang Undur Ke Trengganu

10 April 1895 – Pada hari ini dalam tahun 1895, Hugh Clifford yang menjadi Residen British di Negeri Pahang telah sampai ke Kuala Trengganu dengan satu angkatan tentera yang mengandungi beratus-ratus orang askar yang lengkap bersenjata untuk mencari dan menangkap pahlawan-pahlawan Melayu Pahang yang telah lari menyembunyikan diri ke Ulu Trengganu kerana menentang pihak British yang telah masuk campur dalam pemerintahan negeri Pahang. Di antara pahlawan-pahlawan Pahang itu ialah Datuk Bahaman, Tok Gajah (Katib Rasu), Mat Kilau, Mat Lela, Awang Nong dan Teh Ibrahim.

Pasukan Clifford secara keseluruhannya terdiri daripada 252 orang, 190 di antaranya adalah orang-orang Melayu. Beliau melakukan berbagai cara untuk mendapatkan maklumat daripada penduduk-penduduk Kelantan dan Trengganu terhadap pergerakan pahlawan-pahlawan Pahang itu, termasuk membeli rahsia. Bagaimanapun cara ini telah tidak mendatangkan hasil, malah ‘lebih daripada itu dilakukannya paksaan dengan kekerasan seperti perotanan. Beliau juga memakai cara dengan menyuruh penduduk-penduduk melakukan sumpah dengan Kur’an di atas kepala untuk mendapatkan keterangan yang diperlukannya.

Taktik peperangan sepit udang yang digunakan oleh Clifford untuk mengepung musuh dan juga taktik menyekat bekalan makanan telah tidak dapat menyebabkan tertangkapnya atau penyerahan diri pahlawan-pahlawan Pahang itu. Clifford mengatakan hal ini berlaku kerana bantuan penduduk-penduduk Kelantan dan Trengganu kepada pejuang-pejuang Pahang serta sikap tidak jujur Pesuruhjaya Siam yang dipercayai bertalam dua muka.

Hugh Clifford yang mengesyaki mereka sedang menyembunyikan diri dalam kawasan rumah Engku Saiyid Keramat di Kampong Paluh, Kuala Trengganu telah meminta pertolongan Sultan Trengganu, Sultan Zainal Abidin dan Eugku Saiyid Keramat untuk menangkap pahlawan-pahlawan Pahang yang dianggap sebagai “pemberontak” itu. Baginda Sultan Zainal Abidin telah menunjukkan sikap enggan membantu pihak British menangkap pahlawan-pahlawan Pahang itu kerana tidak mahu turut serta membinasakan orang-orang yang sebangsa dan seugama dengan baginda. Engku Saiyid Keramat yang telah bertemu dengan pahlawan-pahlawan Pahang itu dan menyuruh mereka berlindung di Besut serta menggalakkan mereka meneruskan perjuangan mereka terhadap pihak British, memberitahu Clifford bahawa beliau tidak tahu dan tidak pernah berjumpa dengan pahlawan-pahlawan itu.

Setelah tiga bulan ekspidisi memburu (hingga ke Kelantan) pahlawan-pahlawan tidak juga menunjukkan harapan cerah, malah semakin dalam keadaan ketidakpastian, akhirnya pada 17hb Jun, 1895, Gabenor mengarahkan Clifford kembali ke Pahang. Ekspedisi yang menelan belanja RM 7,393.83 itu telah gagal dalam tujuan utamanya, tetapi menurut Wise (pegawai Inggeris yang terbunuh dalam pertempuran merebut kembali kubu Jeram Ampai pada 29hb Jun, 1894 bahawa ia telah memberikan maklumat yang berguna kepada Inggeris mengenai negeri-negeri Kelantan dan Trengganu.

Bagaimanapun dalam tahun 1896 Duff (Superintenden Polis Pahang) melaporkan dalam laporannya bahawa pemimpin-pemimpin pejuang Pahang yang melarikan diri, Bahaman, Mat Kilau, Mat Lela, Imam Perang Yusof, Teh Ibrahim dan Awang Nong telah diperangkap oleh Siam dalam satu jamuan yang sengaja mereka (pihak Siam) adakan. Di dalam serkapan ini dikatakan pahlawan Mat Kilau telah terbunuh, dan yang lainnya dibawa ke Chieng Mai. Laporan Duff ini disokong oleh hasil penyelidikan wakil Konsul British di Siam, Archer, berdasarkan kepada siasatannya ke atas adik Mat Kilau, Teh Ibrahim.

Antara lain, Teh Ibrahim menyatakan,

..The Siamese would not let us go; and, fearing probably that we would escape, they invited us to a banquet, and suddenly attacked and arrested us while we were eating. 1 was seriously hurt, and have, as you see, still the marks of about ten wounds in my head. My elder brother Mat Kilau was killed at the time, as also others of my relations.

Bagaimanapun, tidak terdapat sumber yang pasti mengenai hal itu dan mengenai kematian Mat Kilau. Malahan, dalam bulan Jun 1969 masyarakat Malaysia, khususnya orang-orang Melayu telah gempar dengan kemunculan seorang tokoh berumur lebih 100 tahun yang mengaku telah menentang Inggeris di Pahang hingga ke akhirnya. Tokoh itu dipercayai sebagai Mat Kilau. Kerajaan Negeri Pahang telah membentuk sebuah jawatankuasa khas untuk menyiasat kemunculan tokoh itu dan perjuangannya, tetapi hingga kini masih belum dikeluarkan kenyataan rasmi mengenainya oleh kerajaan Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen