H.I.D.S – Paduka Mat Salleh Menyerang Pusat Pentadbiran Kerajaan Di Pulau Gaya

Mat Saleh
Mat Saleh

09 Julai 1897 – Pada hari ini dalam tahun 1897, Paduka Mat Salleh, seorang Pahlawan dan pejuang pembebasan Sabah, telah menyerang dan memusnahkan pusat pentadbiran North Borneo Chartered Company di Pulau Gaya, Sabah. Serangan mengejut ini telah dilakukan pada jam 4.00 pagi dengan bantuan orang-orang Bajau dari Inanam dan Mengkabong.

Punca penyerangan ini adalah akibat dari cadangan pihak Inggeris yang ingin membina jalan raya, jalan keretapi dan talian telegraf menghubungi  pantai Brunei dengan Pelabuhan Cowel. Cadangan ini telah mengakibatkan rasa tidak puas hati rakyat Sabah kerana pihak Inggeris mengambil tanah dan mengenakan cukai yang tinggi ke atas mereka bagi menampung kos pembinaan tersebut.

Serangan Paduka Mat Salleh ini bukanlah yang pertama malah telah banyak serangan dilakukan terhadap pihak Inggeris antaranya pada tahun 1894 dan 1896 yang mana pihak Inggeris gagal mematahkan serangan-serangan tersebut. Dalam serangan di Pulau Gaya ini, seluruh pusat pentadbiran syarikat ini musnah sama sekali dan kerugian ditaksirkan kira-kira RM100,000.

Akibat serangan tersebut pihak Inggeris telah mengambil tindakan balas dengan menyerang Inanam dan Aru untuk menangkap Mat Salleh tetapi gagal. Sebaliknya Mat Salleh telah mengatur serangan selanjutnya, sehingga beliau meninggal pada tahun 1900.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen