voc-800px
Sejarah

Orang-Orang Perak Menyerang Angkatan Laut Belanda

27 Mei 1658 – Pada tahun 1658, satu pertempuran telah berlaku apabila orang-orang Perak menyerang angkatan laut Belanda. Pertempuran ini berlaku ketika kapal-kapal laut Belanda yang diketuai oleh Joan Truitmans sedang menghalang Perak daripada menjalankan perdagangan dengan saudagar-saudagar asing. Belanda mengambil tindakan demikian kerana tidak berpuashati terhadap orang-orang Perak yang kerap melanggar syarat-syarat perjanjian persahabatan dan perdagangan yang dibuat di antara kedua pihak dalam tahun-tahun 1650, 1653 dan 1655.

Orang-orang Perak menganggap perjanjian-perjanjian itu adalah tidak sah kerana perjanjian itu dibuat secara paksa dan juga kerana perbezaan agama. Perjanjian-perjanjian yang ditandatangani oleh Sultan Perak adalah kerana desakan Acheh dan mereka menganggap campur tangan Belanda telah menggugat kepentingan mereka yang mengamalkan perdagangan bercorak bebas. Syarat-syarat perjanjian perdagangan bijih timah misalnya hanya menguntungkan Belanda. Belanda telah mengenakan harga dagangan yang rendah dan gantirugi yang dibayar tidak menyenangkan orang-orang Perak.

Secara senyap mereka terus menjalankan perdagangan dengan saudagar-saudagar asing. Oleh kerana tidak puas hati orang-orang Perak kerap kali menyerang loji-loji perniagaan dan kapal-kapal Belanda di Kuala Sungai Perak dalam tahun-tahun 1651 hingga 1657.

Akibat dari itu, Belanda telah mengepung dan mengawasi perairan Perak untuk menghalang sebarang perdagangan tempatan. Ini menyebabkan orang-orang Perak menyerang dan membakar loji-loji perniagaan Belanda pada 23 April 1658 di Kuala Bernam dan berjaya melumpuhkan kegiatan Belanda di situ.

Pada hari ini dalam tahun 1658, dengan tujuh buah kapal perang dan 30 buah kapal-kapal kecil, orang-orang Perak menyerang angkatan laut Belanda yang sedang mengepung perairan Perak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard