H.I.D.S. – Ngah Ibrahim Diberi Kuasa Ke Atas Larut

ngah-ibrahim30 November 1857 – Pada hari ini dalam tahun 1857, Ngah Ibrahim bin Long Jaafar telah diberi kuasa sepenuhnya ke atas Daerah Larut. Pengiktirafan ini telah dibuat berikutan kematian bapanya Long Ja’afar.

Long Ja’afar merupakan orang pertama yang meramalkan kepentingan Larut akan menjadi terkenal kerana sumber bijih timahnya. Menyedari akan kepentingan Larut, beliau telah membeli satu persatu kawasan bijih di Daerah Larut.

Berikutan daripada itu pada tahun 1850, Ngah Ali telah memberikan hak milik daerah tersebut kepada Long Ja’afar. Pada 23 Oktober 1863, Ngah Ibrahim telah dianugerahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Jaafar Muazzam Shah dengan gelaran Orang Kaya Menteri Larut.

Penganugerahan gelaran tersebut adalah sebagai mengenang jasa dan perkhidmatan cemerlang beliau kepada baginda sultan terhadap perkembangan serta kemajuan perusahaan melombong bijih timah di daerah Larut. Penganugerahan ini juga telah meletakkan Ngah Ibrahim sebagai orang yang berkuasa penuh di Larut. Ngah Ibrahim bebas untuk membuat perhubungan dengan mana-mana kuasa luar tanpa persetujuan dan kebenaran Sultan Perak.

Bagaimanapun setelah termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, kuasa mutlak Ngah Ibrahim terhadap daerah Larut telah dilucutkan oleh pentadbiran Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen