H.I.D.S. – Misbun Pemain Badminton Bertaraf Profesional Yang Pertama Dari Asia Tenggara

7 Oktober 1983 – Pada hari ini dalam tahun 1983, Mohamed Misbun bin Sidek mencatat sejarah menjadi pemain badminton bertaraf professional yang pertama dari Asia Tenggara apabila memeterai kontrak selama tiga tahun dengan ‘International Manangement Group’ (IMG) di Kuala Lumpur.

Misbun merupakan pemain badminton negara pertama mencapai taraf antarabangsa ketika berusia 24 tahun dan pemilihan adalah berdasarkan kebolehan beliau dan keiginan untuk menjadi pemain badminton utama di dunia.

Perjanjian dibuat dengan Pengurus IMG, Roddy Carr, disaksikan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia Encik Mohd Khir Johari. Mula menyinar apabila muncul sebagai johan perseorangan badminton daerah Banting pada tahun 1976. Pada tahun 1976 sehingga 1979, Misbun menjuarai perseorangan Lelaki Bawah Umur 18 tahun Kebangsaan dan dipilih menyertai skuad Piala Thomas serta menyertai Kejohanan All England.

Pada tahun 1981 beliau berjaya menjuarai Perseorangan Terbuka Jerman, Juara perseorangan Kebangsaan Malaysia, memperolehi Pingat Emas Perseorangan Sukan SEA dan di pilih Olahragawan Kebangsaan. Pada tahun-tahun berikutnya, diantara kejayaan beliau ialah menjuarai Perseorangan Terbuka Sweden, Kanada, juara perseorangan Kebangsaan, Naib Juara perseorangan Piala Dunia, menjuarai perseorangan Piala Konica dan Terbuka Chinese Taipei.

Pada tahun 1990, beliau dilantik menjadi jurulatih negara dan berjaya mendidik pemain-pemain pelapis sehingga menjadi pemain yang digeruni lawan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen