Memorandum Penubuhan Malaysia

03 Februari 1962 – Pada hari ini dalam tahun 1962, satu memorandum mengenai penubuhan Malaysia telah dipersetujui dan ditandatangani di Persidangan keempat dan terakhir Jawatankuasa Perundingan Setiakawan Malaysia, di Singapura. Memorandum yang mengandungi 44 perkara berkenaan dengan perlembagaan dan pentadbiran Persekutuan Malaysia yang dirancangkan itu disediakan untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Cobbold sebagai asas perundingan Suruhanjaya itu kelak.

Jawatankuasa Perundingan dan Setiakawan Malaysia yang menandatangani Memorandum itu terdiri daripada seorang Pengerusi dan wakil-wakil dari lima buah negeri yang dirancangkan untuk memasuki Persekutuan Malaysia.

Mereka ialah Encik Donald Stephen sebagai Pengerusi, Datu Mustapha bin Datu Harun wakil Sabah, Encik Lee Kuan Yew wakil Singapura, Encik Yeo Cheng Hoe wakil Sarawak, Datuk Setia Pengiran Ali bin Pengiran Haji Mohd. Daud wakil Brunei dan Encik Mohd. Khir Johari wakil Persekutuan Tanah Melayu.

Memorandum yang penting ini diberikan publisiti meluas dan diterbitkan dalam beberapa bahasa termasuk Melayu, Cina, Tamil, Kadazan dan Iban. Ianya bertujuan agar semua rakyat di negeri-negeri berkenaan dapat membaca dan memahami tentang penubuhan Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen