H. I. D. S. – Malaysia Menubuhkan Syarikat Penerbangan Sendiri

mas logo25 Januari 1970 – Pada hari ini dalam tahun 1970, Kerajaan Malaysia dan Singapura telah membuat pengumuman bersama bahawa demi kepentingan kedua-dua buah negara, perlulah ditubuhkan dua buah syarikat penerbangan yang berasingan. Malaysia pada mulanya telah menubuhkan sebuah syarikat penerbangan dengan nama Malaysia Airline Berhad (MAL) tetapi nama ini telah ditukar kepada Malaysia Airline Sistem Berhad atau MAS.

Tujuan penubuhan syarikat ini ialah untuk menyediakan suatu sistem pengangkutan awam yang cekap dan setanding dengan perkhidmatan pengangkutan penerbangan antarabangsa yang lain. Di samping itu, ia akan memberi sumbangan besar kepada perdagangan dan perusahaan pelancongan.

Tahap awal perkhidmatannya, pihak MAS telah mengambil alih daripada Malaysia Singapore Airline (MSA), 9 buah kapal terbang jenis F 27 dan 3 buah jenis BN 2. Lambang yang berupa Wau Kelantan yang mempunyai unsur tradisi dan kebudayaan negara telah dipilih sebagai simbol syarikat penerbangan ini.

Negara kita harus berbangga, kerana mempunyai syarikat penerbangan sendiri dan (MAS) pada masa ini ternyata berjaya menjadi sebuah syarikat penerbangan yang terkemuka dan ini membuktikan bahawa MAS juga mampu untuk sama-sama bersaing dengan syarikat penerbangan yang lain.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen