H.I.D.S. – Maharaja Abu Bakar Diiktiraf Sebagai Pemerintah Muar

Temenggong-Abu-Bakar24 Oktober 1878 – Pada hari ini dalam tahun 1878, Maharaja Abu Bakar telah diiktiraf oleh Kerajaan Inggeris sebagai Pemerintah Muar. Pengiktirafan ini dibuat berikutan dengan kemangkatan Yang Dipertuan Muar, Sultan Ali Iskandar pada 20 Jun 1877. Muar pada mulanya adalah sebahagian daripada negeri Johor tetapi hasil daripada perjanjian antara kerajaan Johor dengan Inggeris pada 10 Mac 1855, Muar telah dijadikan sebuah negeri yang berasingan.

Sultan Ali Iskandar telah dilantik menjadi Yang Dipertuannya yang pertama. Sebelum Sultan Ali mangkat, baginda telah meninggalkan wasiat supaya putera baginda, Tengku Mahmud menggantikan baginda. Wasiat ini telah ditentang oleh Tengku Alam yang merasakan lebih berhak kerana ia lebih tua dari Tengku Mahmud. Sengketa perebutan takhta ini kian meruncing apabila Pemangku Gabenor Negeri-negeri Selat, Gabenor Anson pada 26 November 1877, meletakkan Maharaja Abu Bakar sebagai pemerintah Muar. Tindakan ini diambil kerana memenuhi permintaan penghulu dan ketua-ketua tempatan Muar. Tindakan Anson ini dibantah oleh Tengku Alam. Bantahan tersebut tidak diendahkan oleh Anson dan beliau terus mengiktiraf Maharaja Abu Bakar sebagai pemerintah Muar pada hari ini dalam tahun 1878.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen