H. I. D. S. – Lembah Belum Di Perak Dimusnahkan

16 Mac 1952 – Pada hari ini dalam tahun 1952, operasi besar-besaran menentang pengganas-pengganas komunis yang menguasai Lembah Belum di Ulu Perak ditamatkan. Pengganas-pengganas komunis telah menguasai Lembah itu selama setahun dan menjadikannya pusat bekalan makanan mereka bagi kawasan Ulu Perak.

Di Lembah tersebut terdapat sebelas buah kampung Melayu yang terpencil. Kedudukannya yang terpencil ini amat mudah dikuasai oleh pengganas-pengganas komunis. Selama setahun pihak komunis bermaharajalela dan memutuskan segala perhubungan kampung-kampung itu dengan dunia luar. Mereka juga telah mengenakan sistem cukaian padi dan memaksa penduduk-penduduk di situ menanam padi huma sebagai langkah untuk menambahkan bekalan makanan anggota-anggota mereka.

Operasi besar-besaran itu dijalankan dengan kerjasama pihak Polis, Tentera Udara Diraja British, Tentera Udara Diraja Australia dan anggota Kelab Udara Diraja serta para pegawai kerajaan dari Kelantan. Akibat dari operasi tersebut seluruh penduduk di Lembah Belum itu dipindahkan ke kawasan 20 batu dari Grik di Utara Perak.

Kawasan baru itu merupakan kawasan penanaman padi yang subur bagi mereka memulakan penghidupan baru. Kerajaan juga menyediakan kemudahan seperti sekolah dan pusat kesihatan. Di samping itu juga kerajaan membayar ganti rugi dalam bentuk wang ringgit akibat pemindahan beramai-ramai itu.

Setelah pemindahan selesai dilakukan pihak polis dan tentera telah memusnahkan segala sumber makanan di lembah tersebut dalam usaha memutuskan bekalan makanan pengganas-pengganas komunis di sekitar kawasan Ulu Perak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen