H.I.D.S. – Labuan Dijadikan Anggota Negeri-Negeri Selat

28 November 1899 – Pada hari ini dalam tahun 1899, Pulau Labuan telah dijadikan anggota Negeri-negeri Selat adalah merupakan kawasan penaklukan Inggeris yang digunakan sebagai pusat perdagangan dan sebagai tapak untuk memperluaskan jajahannya. Penjajahan Inggeris yang telah berjaya bertapak di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka mula mengalihkan pandangannya ke Pulau Borneo dan kawasan disekitarnya pada pertengahan abad Ke-19.

Langkah pertama tindakan Inggeris ialah mendapatkan penempatan untuk mengawal dan mengawasi perdagangan di Pulau Borneo dan Makasar. Sungguhpun pada bulan Januari 1763, seorang wakil Inggeris, Alexander Dalrymple telah berjaya mendapatkan Pulau Balambangan dari kesultanan Sulu tetapi Inggeris terpaksa meninggalkan Pulau tersebut pada tahun 1804 setelah beberapa kali diserang oleh orang-orang Sulu yang tidak bersetuju penyerahan pulau itu kepada Inggeris. Dengan kehilangan Pulau Balambangan sebagai tempat bertapak, Inggeris terpaksa mencari tempat penggantinya.

Pada tahun 1844 Kerajaan British dapat menjalinkan perhububgan diplomatik dengan kesultanan Brunai setahun berikutnya iaitu pada tahun 1845 Inggeris berjaya mendapatkan Pulau Labuan. James Brooke telah dilantik sebagai Gabenor Pertama untuk mentadbir Pulau tersebut tetapi akhirnya beliau telah dilucutkan dan digantikan oleh seorang pegawai Inggeris yang lain. Diantara Gabenor-gabenor Labuan yang terkenal ialah Hugh Clifford yang pernah berkhidmat di Negeri Pahang.

Pulau Labuan tidak banyak memberi keuntungan kepada pihak Inggeris. Ia tidak berjaya sebagai pusat perdagangan seperti Pulau Pinang atau Pualau Singapura. Pentadbiran Inggeris di Pulau Labuan merugikan. Untuk menampung perbelanjaan Pulau Labuan, maka pada hari ini dalam tahun 1899, Labuan telah dijadikan anggota Negeri-negeri Selat. Dengan ini Pulau Labuan diperairan Pulau Borneo telah disatukan dengan Pulau Pinang, Melaka dan Singapura di Semenanjung Tanah Melayu sebagai Negeri-negeri Selat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen