Labuan Diisytiharkan Sebagai Wilayah Persekutuan

w_p_labuan16 April 1984 – Pada hari ini dalam tahun 1984, Majlis Pengisytiharan Pulau Labuan sebagai Wilayah Persekutuan telah berlangsung di Pulau Labuan, Sabah. Pengisytiharan tersebut menjadikan Labuan sebagai Wilayah kedua bagi Malaysia diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan.

Di majlis yang bersejarah ini, YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang mewakili Kerajaan Persekutuan dan YAB Datuk Harris Salleh yang mewakili kerajaan Sabah telah menandatangani watikah pengisytiharan tersebut. Turut menurunkan tandatangan di watikah tersebut ialah YBhg. Tan Sri Hashim Aman, Ketua Setiausaha Negara dan YBhg. Tan Sri Abdul Hamid Egoh, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang bertindak sebagai saksi.

Pengisytiharan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan adalah untuk menentukan terhapusnya perasaan perbezaan dari segi kaum, bangsa, agama, kenegerian, kewilayahan yang berunsur negatif. Pengwujudan Wilayah Persekutuan Labuan merupakan satu usaha positif dan konkrit ke arah mencapai matlamat integrasi dan perpaduan negara yang diharapkan oleh semua. Pengwujudan itu juga membawa erti yang amat besar kepada generasi akan datang.

Dalam amanat di majlis pengisytiharan tersebut, YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sabah yang telah bersetuju menjadikan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan. Ianya merupakan pengorbanan yang besar Kerajaan Sabah mengenepikan kepentingan sendiri demi kemajuan dan kesejahteraan negara dan rakyat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen