H. I. D. S. – Kerja Mengukur Dan Menanda Sempadan Di Perairan Selat Tebrau Yang Dilaksanakan Bersama Oleh Malaysia Dan Singapura Bermula

selat_teberau12 Mac 1980 – Pada hari ini dalam tahun 1980 kerja-kerja mengukur dan menanda sempadan di perairan Selat Tebrau yang dilaksanakan bersama oleh Malaysia dan Singapura telah dimulakan. Sebuah kapal K.D.Mutiara telah mengambil bahagian dalam kerja-kerja pengukuran peringkat pertamanya di Arongan Nenas, Selat Tebrau. Kerja-kerja pengukuran dan penandaan tersebut telah dijalankan bersama oleh para pegawai dan kakitangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pelabuhan Singapura.

Pada peringkat pertama kerja-kerja pengukuran ini akan meliputi kawasan enam batu sekitar Arongan Nenas yang dijangka dapat disiapkan dalam masa 10 hari. Syahbandar Johor Kapten Hamzah Mohd. Nor, salah seorang turut menjalankan kerja-kerja pengukuran itu menasihatkan pengguna-pengguna arongan itu menjaga keselamatan mereka semasa kerja-kerja dijalankan.

Kerja-kerja pengukuran sempadan bersama ini dibuat sesudah mesyuarat antara Malaysia dan Singapura Januari lalu bersetuju terhadap program pengukuran sempadan ini. Persetujuan yang dicapai untuk meletakkan sempadan baru di antara kedua negara berpandukan perjanjian kawasan perairan Negeri-negeri Selat 1927. Kerja-kerja pengukuran sempadan Malaysia-Singapura ini akan dijalankan berperingkat-peringkat dan dijangka memakan masa satu tahun.

Peringkat pertama yang bermula ini ialah di kawasan Arongan. Peringkat kedua daripada Arongan Nenas hingga ke Tambak Johor. Kawasan Arongan dipilih sebagai peringkat pertama kerana ianya begitu sibuk dengan lalulintas dan kerja berhampiran dengan hubungan Sembawang, Singapura dan Pasir Gudang, Johor.

Dengan bermulanya kerja-kerja pengukuran sempadan di Singapura dan Malaysia hari ini dalam tahun 1980 tersebut akan memudahkan lagi mengenal pasti sempadan kedua-dua negara oleh para nelayan dan pengguna-pengguna jalan laut amnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen