H.I.D.S – Kerajaan Menghalau Keluar Wartawan Inggeris Yang Menghina Bangsa Melayu

Logo Persekutuan Tanah Melayu
Logo Persekutuan Tanah Melayu

06 Julai 1965 – Pada hari ini dalam tahun 1965 Kerajaan telah mengusir keluar wartawan Alex Josey berikutan tulisan-tulisan dan pandangan wartawan tersebut yang memburukkan bangsa Melayu dan kepimpinan negara.  Kejadian ini adalah pertama kali di mana Kerajaan mengusir wartawan luar negeri.  

Pemangku Perdana Menteri Tun Abdul Razak mengumumkan pengusiran wartawan Alex Josey dan perintah untuk meninggalkan negara secepat mungkin telah disampaikan kepada wartawan tersebut.  Alex Josey yang telah tinggal di Malaysia sejak 15 tahun dulu datang dari Palestin pada tahun 1950 apabila British menyerahkan Palestin kepada penubuhan negara haram Yahudi.  

Sewaktu Sir Henry Gurney menjadi Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu Alex Josey pernah menjalankan propaganda bagi pihak Kolonial menerusi radio.  Beliau juga menjadi penulis London Observer bagi Asia Tenggara.  Tulisan-tulisan Alex yang anti Melayu serta menjalankan gerakan memecahbelahkan perpaduan orang-orang Melayu telah mendapat tentangan hebat dari pertubuhan-pertubuhan Melayu, parti-parti politik seperti UMNO, PAS, Parti Rakyat dan Parti Barisan Sosialis serta lain-lain.  

Perintah pengusiran wartawan Inggeris Alex josey pada hari ini dalam tahun 1965 adalah bukti ketegasan Kerajaan terhadap anasir-anasir luar yang ingin merosakkan perpaduan dalam negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen