Lee-KuanYew-Tunku-Abdul-Rahman-800px
Sejarah

Keputusan Menerima Percantuman Singapura Dan Persekutuan Tanah Melayu Oleh Rakyat Singapura

02 September 1962 – Keputusan Menerima Percantuman Singapura Dan Persekutuan Tanah Melayu Oleh Rakyat Singapura pada tahun 1962. Kerajaan Singapura menerima keputusan undi terbanyak dari rakyat yang bersetuju Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu dicantumkan.

Pungutan suara ini dibuat berikutan dengan cadangan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra untuk mengadakan persefahaman antara Britain dan rakyat di Wilayah Singapura, Sabah, Brunei dan Sarawak, pada Mei 1961. Cadangan yang dikemukakan oleh Tunku ini dikenali sebagai rancangan penubuhan Malaysia.

Sehubungan dengan ini beberapa persetujuan telah dicapai daripada perundingan-perundingan percantuman yang diadakan, tetapi sebelum keputusan muktamad dibuat pendapat rakyat hendaklah diperolehi. Keputusan pungutan suara yang diumumkan pada jam 11.15 di Dewan Badminton Singapura ini jelas membuktikan penerimaan rakyat Singapura terhadap rancangan percantuman Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu. Ia juga bermakna Singapura memperolehi kemenangan cemerlang mengalahkan kaum komunis dan penyokongnya yang menyeru rakyat memberi undi kosong kepada cadangan tersebut.

Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Kuan Yew menyifatkan keputusan ini sebagai ‘jelas dan muktamad’ daripada rakyat yang menghendaki percantuman dalam Malaysia. Kaum komunis dan penyokongnya hendaklah menerima kemahuan rakyat melalui undi yang bebas dan demokratik ini secara terbuka walaupun kepada mereka ianya merupakan satu hakikat yang berat untuk diterima. Encik Lee Kuan Yew juga menyatakan bahawa kerajaan telah berusaha sedapatnya untuk menjamin kedudukan rakyat Singapura dan merasa sukacita bahawa sebahagian besar rakyat Singapura menyokong usaha tersebut.

Dalam pungutan suara ini undi yang menyokong usul percantuman kerajaan ialah 71% berbanding 23% undi kosong. Keputusan ini akan dihantar kepada Jawatankuasa Bangsa-Bangsa Bersatu yang dianggotai oleh 17 negara. Setelah berbagai usaha diadakan Malaysia yang dianggotai oleh Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak diisytiharkan kewujudannya pada 16 September 1963.

Malangnya, setelah melalui berbagai rintangan dalam sebuah kerajaan dan pemerintahan, Singapura kemudiannya keluar dari Persekutuan Malaysia di pertengahan tahun 1965 akibat tindak tanduk beberapa orang pemimpin Singapura yang meletakkan perhubungan kedua negara dalam keadaan tegang dan genting.

Sessungguhnya pemberiaan hak rakyat untuk menentukan kerajaan dan pemerintah yang mereka pilih akan menjadi tidak bermakna andaikata sesetengah pemimpinnya bersikap tidak jujur di atas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard