H. I. D. S. – Kawasan Bandar Baru Sea Port Diisytiharkan Nama Baru Sebagai Kelana Jaya

10 Februari 1983 – Pada hari ini dalam tahun 1983, Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor Darul Ehsan telah mengisytiharkan nama baru bagi kawasan bandar baru Sea Port sebagai Kelana Jaya. Menurut baginda nama Sea Port adalah tidak sesuai dari segi keperibadian Melayu dan penduduk tempatan. Oleh sebab itulah ianya ditukar kepada Kelana Jaya yang menurut baginda sebagai mengambil sempana nama ayahanda saudara baginda Kelana Jaya Putra.

Sultan Selangor bertitah mengisytiharkan nama baru Kelana Jaya bagi kawasan Sea Port tersebut sewaktu merasmikan Kompleks Jemaah Haji di Seri Setia di kawasan tersebut. Baginda berharap pihak Kerajaan Negeri Selangor dapat mewartakan dengan segera nama baru Kelana Jaya itu supaya ia dapat dikenali ramai.

Dengan pengisytiharan nama baru serta dengan kewujudan Kompleks Jemaah Haji di kawasan ini akan dapat memajukan lagi kawasan ini dalam jangkamasa yang singkat. Pada masa sekarang setelah 10 tahun berlalu nama Kelana Jaya telah dikenali ramai dan semakin berkembang pesat dengan projek-projek perumahan dan juga perniagaan.

Sesungguhnya pengisytiharan Diraja nama Sea Port kepada Kelana Jaya pada hari ini dalam tahun 1983 itu amat bermakna sekali dalam menghidupkan ciri-ciri keperibadian Melayu dan tempatan di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen