tldm-800px
Sejarah

Kapal Penggempur Terlaju Di Dunia Ditauliahkan Kepada Tentera Laut Diraja Malaysia

21 November 1967 – Pada tahun 1967, Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra, telah menyampaikan tauliah kepada 3 buah kapal penggempur laju Tentera Laut Diraja Malaysia, iaitu K.D. Pendekar, K.D. Handalan dan K.D Gempita di Pelabuhan Klang.

Ketiga-tiga buah kapal penggempur tersebut adalah dari jenis kapal-kapal penggempur yang terlaju di dunia. Kapal yang berharga $6 juta setiap sebuah itu boleh berlayar hingga kira-kira 96 kilometer/ jam dan boleh digunakan sebagai kapal pembedil, kapal pemasang periuk api dan juga sebagai kapal pembawa torpedo.

Di dalam ucapannya sempena upacara penyampaian tauliah tersebut, Tunku menyatakan bahawa TLDM yang kini mempunyai 40 buah kapal dan 3,000 orang kakitangan, akan diperbesarkan secara berperingkat sehingga mempunyai kira-kira 200 buah kapal dari berbagai jenis dan jumlah kakitangannya akan ditambah.

Upacara menyampaikan tauliah kepada 3 buah kapal penggempur laju TLDM pada hari ini dalam tahun 1967, adalah sebahagian dari usaha kerajaan untuk membesarkan lagi angkatan TLDM di dalam usaha mengawasi ancaman melalui laut, menyekat kegiatan penyeludupan dan melindungi nelayan-nelayan kita. Usaha ini penting memandangkan Malaysia mempunyai kawasan pantai yang panjang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard