H.I.D.S – Johor Meminta Belanda Membantu Mengalahkan Jambi

dutch30 Julai 1673 – Pada hari ini dalam tahun 1673, Gabenor Belanda di Melaka, Gabenor Balthasar Bort telah menerima surat dari Sri Bija Diraja, seorang pembesar Johor di Muar bagi meminta bantuan Belanda memerangi Jambi. Permintaan itu dibuat atas perintah Sultan Abdul Jalil Syah Johor.

Permusuhan Johor dan Jambi sebenarnya bermula sejak tahun 1664 apabila Sultan Johor enggan merestui perkahwinan Yam Tuan Muda Raja Bajau iaitu bakal Sultan Johor dengan Puteri Jambi. Sejak tarikh itu kedua kerajaan ini sentiasa berperangan tetapi tidaklah sampai merugikan kedua belah pihak. Walau bagaimanapun pembunuhan seorang pembesar Jambi yang merupakan seorang keluarga diraja pada tahun 1671 menyemarakkan kemarahan Jambi yang membawa kepada serangan besar-besaran ke atas beberapa bandar di Johor. Ini ditambah pula dengan keengganan Sultan Johor datang meminta maaf kepada Sultan Jambi yang kononnya bersedia memaafkan baginda.

Akibat dari serangan yang merosakkan banyak bandar di Johor pada 1670 ini Sultan Johor yang berundur ke Pahang ketika itu terpaksa meminta bantuan Belanda. Malangnya permintan ini tidak dilaksanakan oleh Gabenor Bort yang menyatakan bahawa Belanda berada dalam kedudukan serba salah memandangkan kedua negara yang berperang adalah sekutu Belanda. Maka itu Belanda tidak boleh membantu mana-mana kerajaan tanpa mengenepikan pihak yang lain. Jawapan Gabenor Belanda itu memang mengecewakan Sultan Johor. Demi menyekat serangan Jambi ke atas Muar baginda terpaksa mencadangkan agar Muar diletakkan di bawah pengawasan Belanda buat sementara.

Kegagalan Johor mendapatkan bantuan dan kerosakan yang dialami oleh beberapa bandarnya tidak melemahkan semangat sesetengah orang besar Johor untuk kembali semula berkerajaan. Laksamana Tun Abdul Jamil yang berlindung di pulau berdekatan sentiasa mempastikan pengawasan yang berterusan di Johor. Akhirnya pada tahun 1679 Laksamana Tun Abdul Jamil atas titah Sultan Ibrahim Shah Johor telah memerangi dan mengalahkan Jambi. Kedua kerajaan akhirnya berdamai dan Jambi telah mengaku tunduk di bawah kekuasaan Johor yang berpusat di Riau.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen