japanese_troop-800px
Sejarah

Jepun Menyerahkan Negeri-Negeri Utara Tanah Melayu Kepada Thailand

20 Ogos 1943 – Pada tahun 1943, satu perjanjian telah ditandatangani di Bangkok, Thailand di antara Duta Jepun ke Thailand, Teiji Tsubukami dan Perdana Menteri Thailand, Field Marshal Plaek Phibunsongkhram.

Dalam perjanjian tersebut Jepun menyerahkan Negeri-negeri Utara Tanah Melayu kepada Thailand. Negeri-negeri yang terlibat adalah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis serta dua Wilayah Shan.

Penyerahan enam buah wilayah tersebut telah dilakukan kerana Jepun merasa terhutang budi kepada Thailand di atas bantuan sokongan dan kerjasama yang telah diberikan oleh Thailand dalam usahanya untuk menakluki Tanah Melayu.

Jepun juga pernah berjanji untuk menyerah kembali negeri-negeri Melayu dan dua wilayah Shan itu yang dahulunya kepunyaan Thailand kepada Kerajaan Thailand sekiranya Jepun diberi bantuan dan kerjasama dalam usaha-usaha penaklukan Tanah Melayu.

Perbincangan mengenai kedudukan wilayah-wilayah tersebut pertama kalinya telah diadakan pada 4 Julai 1943 di dalam satu pertemuan di antara Perdana Menteri Jepun, Jeneral Hideki Tojo dan Perdana Menteri Thailand, Field Marshal Plaek Phibunsongkhram semasa Perdana Menteri Jepun itu melawat Thailand.

Berikutan dengan peristiwa itu pada hari ini dalam tahun 1943 satu perjanjian telah ditandatangani untuk menyerahkan enam buah wilayah (empat buah di utara Tanah Melayu iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis; dan dua buah wilayah Shan, Selatan Thailand); kepada Pentadbiran Tentera Thailand.

Mengikut perjanjian tersebut terdapat enam fasal yang telah dipersetujui :

FASAL 1: Jepun mengakui wilayah-wilayah Thailand seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis termasuk pulau-pulaunya dipunyai oleh negeri tersebut.

FASAL 2: Jepun juga mengakui wilayah-wilayah Shan iaitu Kentung dan Mongpan kepunyaan Thailand.

FASAL 3: Jepun akan menyerahkan pentadbiran di dalam wilayah-wilayah tersebut dalam masa 60 hari tarikh perjanjian itu dibuat.

FASAL 4: Sempadan wilayah-wilayah di dalam Fasal 1 dan 2 adalah mengikut sempadan negeri-negeri itu sebagaimana pada tarikh perjanjian itu ditandatangani.

FASAL 5: Perkara-perkara detail untuk pelaksanaan Perjanjian itu akan ditentukan melalui tolak-ansur atau nasihat-nasihat di antara kedua-dua negeri itu.

FASAL 6: Perjanjian itu akan diikuti oleh satu rombongan yang akan menandatangani tarikh penyerahan wilayah-wilayah tersebut.

Selepas 60 hari dari tarikh perjanjian itu dibuat iaitu mulai daripada 18 Oktober 1943 secara rasminya negeri Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis telah diletakkan di bawah kawalan Pentadbiran Tentera Thailand yang berpusat di Alor Setar, Kedah.

Walau bagaimanapun, pihak Jepun masih lagi mempunyai kuasa di bidang ketenteraan, serta berhak untuk mengambil pemuda-pemuda Melayu untuk berkhidmat di dalam pasukan Tentera Jepun.

Negeri-Negeri Utara Tanah Melayu telah dikuasai oleh pentadbiran Tentera Thailand selama dua tahun.

Dengan kekalahan Jepun di tangan pihak Berikat dan penyerahan kuasa tentera Jepun kepada Tentera British di Tanah Melayu pada akhir tahun 1945 maka berakhirnya pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Dengan tidak secara langsung Negeri-negeri Utara Tanah Melayu kembali semula jatuh ke tangan penjajahan Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard