H. I. D. S. – Jepun Menyerah Diri Di Kuala Lumpur

22 Februari 1946 – Pada hari ini dalam tahun 1946, satu upacara penyerahan kuasa oleh Tentera Jepun kepada Kerajaan British telah dijalankan di Victoria Institution, Kuala Lumpur di mana Jeneral-jeneral Jepun menyerahkan Pedang Samurainya kepada Leftenan Jeneral Sir Frank Messervy, Pegawai Pemerintah Command Malaya.

Penyerahan pedang samurai oleh Jeneral-jeneral Jepun itu menandakan peringkat terakhir penyerahan kuasa oleh pihak tertinggi tentera Jepun di Tanah Melayu. Penyerahan kuasa peringkat awal dilakukan secara beramai-ramai di akhir tahun 1945 di Lapangan Terbang Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Penyerahan diri itu adalah ekoran daripada pengisytiharan tamat perang dunia kedua di mana Jepun mengaku kalah tanpa syarat pada 15 Ogos 1945, selepas bandar Hiroshima dan Nagasaki dimusnahkan oleh bom atom pihak Berikat. Tentera Jepun terpaksa berundur keluar dari Tanah Melayu.

Dengan penyerahan kuasa itu berakhirlah zaman pendudukan Jepun selama tiga setengah tahun di Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen