Bachok_Beach-800px
Sejarah

Jepun Mendarat Di Kota Bharu, Kelantan

Yamashita

Leftenan-Jeneral Yamashita

08 Disember 1941 – Penjajahan Jepun di Tanah Melayu bermula apabila Tentera Jepun yang diketuai oleh Jeneral Takumi telah mendarat di Pantai Sabak, Kota Bharu, Kelantan pada 08 Disember 1941. Dengan pendaratan ini bermulalah serangan Jepun ke atas Tanah Melayu. Tentera Inggeris di bawah pimpinan Brigadier Kay yang mengetuai ’28th Indian Infantry Brigade’ telah tewas di dalam usaha mempertahankan Kota Bharu.

Sebelum mendarat di Kota Bharu, Jepun telah menandatangani Perjaniian Persahabatan dengan Thailand yang membenarkan Jepun mendarat dan mara ke Tanah Melayu melalui Selatan Thai iaitu melalui Singgora dan Patani. Semasa serangan ini, pertahanan di Tanah Melayu tidak cukup bersedia dan Inggeris menyangka bahawa tentera Jepun akan menyerang Singapura melalui laut Ialu menumpukan pertahanan di Singapura. Sebaliknya tentera Jepun telah mendarat di Kota Bharu dan mara ke selatan.

Di Tanah Melayu hanya terdapat kira-kira 87 ribu orang askar iaitu askar Inggeris, India, Australia dan askar Melayu. Sebahagian besar askar Australia telah ditempatkan di Johor untuk pertahanan kawasan selatan. Hanya satu pasukan tentera India sahaja dihantar mempertahankan sempadan utara. Kekuatan pertahanan udara Tanah Melayu pula adalah terlalu lemah jika dibandingkan dengan kekuatan tentera udara Jepun. Kubu pertahanan di Kota Bharu pula kecil. Walau bagaimanapun tentera Jepun mendapat tentangan hebat semasa pendaratannya di Kota Bharu.

Setelah menawan Kota Bharu, tentera Jepun mara ke negeri Pahang. Sementara itu tentera Jepun dari Singgora dan Patani telah mara ke Kedah dan memecahkan pertahanan di Jitra dan Alor Setar. Kedua-dua ketumbukan tentera Jepun ini telah bergerak ke arah selatan dengan pantasnya. Tentera Inggeris dan Rejimen Askar Melayu telah berjuang bermati-matian tetapi akhirnya mengalami kekalahan yang teruk dan terpaksa berundur ke selatan.

Pulau Pinang jatuh ke tangan Jepun pada 17 Disember 1941. Dari Pulau Pinang tentera Jepun menggunakan perahu untuk mendarat di tempat-tempat ke selatan pantai barat. Melalui cara ini mereka telah memerangkap tentera Inggeris yang sedang berundur.

Ipoh telah jatuh ke tangan Jepun pada 27 Disember 1941. Pada Januari 1942, Jepun telah mematahkan pertahanan di Slim River.Jepun menawan Kuala Lumpur pada 11 Januari 1942.

Menjelang 31 Januari 1942, tentera Inggeris dan sekutunya terpaksa berundur ke Singapura. Dengan ini Jepun telah menakluki seluruh Semenanjung Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard