H.I.D.S – Jasad Dua Pahlawan Melayu Dikebumikan Semula

09 September 2006 – Pada hari ini dalam tahun 2006, Rangka jasad dua pahlawan Melayu, Allahyarham Orang Kaya Menteri Ngah Ibrahim Long Jaafar dan bapa mertuanya, Allahyarham Laksamana Mohamad Amin Alang Duakap selamat dikebumikan semula di Kuala Kangsar dan Taiping.

Laksamana Mohd Amin bersama-sama Ngah Ibrahim, Sultan Abdullah dan Datuk Syahbandar Uda Maamor dibuang daerah dan diasingkan ke Pulau Seychelles di Lautan Hindi pada tahun 1877 kerana dituduh terlibat dalam pakatan membunuh Residen British di Perak, J.W.W Birch di Pasir Salak, bersama pahlawan Perak yang lain seperti Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor, Pandak Endut dan Si Putom.

Pengebumian semula kedua-dua pahlawan Melayu itu dimulakan dengan rangka jasad Mohamad Amin pada pukul 11 pagi di Makam Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Manakala rangka jasad Ngah Ibrahim di kebumikan di Kota Ngah Ibrahim yang kini dikenali sebagai Kompleks Sejarah Matang di Taiping pukul 1.30 tengah hari.

Kerajaan negeri Perak dalam satu kenyataan, yakin rangka jasad Orang Kaya Menteri Ngah Ibrahim Long Jaafar yang dibawa pulang dari Singapura dan disemadikan semula di Kota Ngah Ibrahim hari ini adalah milik pahlawan Melayu Perak berdasarkan dokumen-dokumen dan bukti nyata bahawa Ngah Ibrahim memang meninggal dunia di Singapura dan perkara tersebut disokong oleh fakta sejarah yang di simpan di Jabatan Muzium Malaysia serta kajian yang di lakukan oleh Jabatan Warisan Negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen