H.I.D.S. – Jambori Pertama Pengakap Malaysia

pengakap_logo05 Disember 1966 – Pada hari ini dalam tahun 1966, Jambori Pertama Pengakap Malaysia telah diadakan di Teluk Bahang, Pulau Pinang. Jambori ini telah dibuka dengan rasminya oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Lebih dua ribu pengakap dari sebelas buah negara menyertai Jambori ini. Mereka ialah dari Malaysia, Republik Rakyat China, India, Korea Selatan, Nepal, Singapura, Fillpina, Thailand, Laos, New Zealand, Australia, Ireland dan United Kingdom.

Perkembangan Pergerakan Pengakap di Tanah Melayu bermula sejak tahun 1910 apabila ia ditubuhkan di Singapura dan di Pekan, Pahang. Semenjak itu pergerakan ini telah berkembang ke negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Jambori pengakap pernah diadakan di Pulau Pinang dalam tahun 1927, iaitu semasa pemerintahan Inggeris di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Tan Sri Sardon bin Haji Jubir yang juga Pengakap Agung Kebangsaan, dalam ucapan alu-aluannya di hari pembukaan berkata tujuan utama Jambori ini ialah untuk membolehkan anggota-anggota pengakap dari berbilang bangsa, agama, adat resam dan kebudayaan menyesuaikan diri dalam sebuah keluarga yang besar. Jambori ini memberi kesempatan kepada mereka mengamalkan undang-undang pengakap yang keempat iaitu menggalakkan pengakap berbaik-baik di antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, agama dan kebudayaan.

Jambori Pertama Pengakap Malaysia yang berlangsung selama enam hari itu, sesungguhnya telah memberikan faedah dan pengalaman yang baik kepada pengakap-pengakap dari negara-negara yang terlibat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen