H.I.D.S. – Jabatan Kastam Dan Eksais Diwartakan

Kastam22 Oktober 1934 – Pada hari ini dalam tahun 1934, Akta Kastam dan Eksais telah diwartakan dan dengan itu terbentuklah Jabatan Kastam dan Eksais Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pada awal penubuhannya pada 1 Januari 1907, Jabatan ini dikenali sebagai Jabatan Perdagangan dan Kastam (Trade and Custom Department).

Sebelum tahun 1907, cukai-cukai yang dipungut di Negeri-negeri Melayu Bersekutu tertakluk di bawah Enakmen Cukai Kastam. Namun begitu, tidak ada satu jabatan atau agensi khas untuk memungut cukai tersebut. Menjelang tahun 1931, Jabatan Kastam termasuk bahagian Candu, Kastam Eksais dan pencegahan telah disusun semula.

Penolong Pesuruhjaya Kastam telah dilantik di setiap Negeri-negeri Melayu Bersekutu untuk mengawal semua cawangan kastam. Selain daripada itu, seorang Penolong Pesuruhjaya dilantik bagi seluruh Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, susunan dan organisasi Jabatan Kastam telah diubahsuai selaras dengan cita-cita negara. Pada 16 September 1963, dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Persekutuan Tanah Malaysia, keseragaman diwujudkan antara Jabatan Kastam Sabah, Sarawak dan Singapura.

Pada 29 Oktober 1963, DYMM Yang di-Pertuan Agong telah menganugerahkan gelaran Diraja kepada Jabatan Kastam dan dengan rasminya dikenali sebagai Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen