H.I.D.S – Hugh Clifford Tamat Dari Perkhidmatan Residen Di Negeri Pahang

Hugh Charles Clifford14 September 1903 – Pada hari ini dalam tahun 1903, Perkhidmatan Hugh Clifford sebagai Residen British di Pahang telah ditamatkan dan beliau dilantik menjadi Setiausaha Jajahan Trinidad, kemudiannya sebagai Gabenor di Ceylon, Pantai Emas dan di Nigeria.

Hugh Clifford telah dilahirkan pada 5 Mac 1866 di London dan datang ke Malaya pada tahun 1883 untuk memasuki perkhidmatan awam di negeri-negeri Melayu. Ketika itu beliau baru berusia 17 tahun. Minatnya untuk berkhidmat di Malaya didorong kuat oleh ketokohan bapa saudaranya Frederick Weld yang ketika itu menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat (Straits Settlements). Jawatan pertama yang dipegang oleh Hugh Clifford di Malaya ialah sebagai Pegawai Kadet bagi Resident British Hugh Low di Perak.

Pada tahun 1887 Hugh Clifford telah dikirimkan ke Pahang sebagai ajen Inggeris untuk memujuk Sultan Ahmad mengadakan perjanjian dengan Inggeris. Dalam usaha ini Hugh Clifford telah berjaya memperdayakan Sultan Ahmad dengan usul-usul pembentukan majlis negeri sebagai badan penasihat yang akan membantu Sultan dalam pemerintahan termasuk pementapan sempadan bagi daerah-daerah serta kedudukan dan kausa yang ada pada Ketua Daerah.

Kejayaan Hugh Clifford di Pekan memberi keyakinan kepada Gabenor untuk melantiknya sebagai Superintendent di Ulu Pahang pada tahun 1889 dan kemudiannya dilantik memangku jawatan Resident British seterusnya sebagai Residen British menggantikan tempat Rodger.

Pada tahun 1929 ia diminta kembali ke England dan meninggal dunia pada 18 Disember 1941.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen